Scammer pelaburan jerat RM875.4 juta sejak tahun lalu
KUALA LUMPUR - Sebanyak 8,655 kes penipuan pelaburan direkodkan membabitkan kerugian RM875.4 juta sejak tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, statistik setakat Julai lalu turut mencatatkan tangkapan 5,724 individu.
"Kebanyakan mereka yang ditangkap ini adalah berperanan sebagai keldai akaun (mule account) dan ejen kepada sindiket penipuan pelaburan.
"Penipuan pelaburan dibahagikan kepada dua kategori iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian," katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.
Tambahnya, bagi kategori penipuan pelaburan secara bersemuka, mangsa dan suspek akan mengenali serta berinteraksi secara bersemuka di dalam melakukan urusan pelaburan yang ditawarkan.
Menurutnya, bagi penipuan pelaburan secara dalam talian pula, suspek akan cuba menarik perhatian mangsa dengan mempamerkan model pelaburan melalui platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, WhatsApp dan Telegram.
"Dalam situasi ini, mangsa tidak mengenali suspek dan segala urusan pelaburan dilakukan dengan menggunakan media sosial," katanya.
Beliau berkata, antara modus operandi yang digunakan oleh sindiket ialah mempromosikan produk pelaburan dengan mendakwa pelaburan itu patuh syariah.
"Mereka akan menggunakan nama agensi-agensi yang berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bank Negara Malaysia kononnya pelaburan mereka ini telah diiktiraf sebagai patuh syariah bagi memperdayakan para pelabur," ujarnya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, jika berdasarkan kepada statistik, jelas menunjukkan peningkatan bagi jenayah penipuan pelaburan dan nyata nampak semakin berkembang.
Beliau berkata, jahil dan tamak antara dua faktor utama yang menyebabkan orang ramai mudah terjerat dengan pelaburan palsu ini terutamanya di media sosial.
"Segelintir masyarakat mudah terpedaya dengan janji manis yang ditawarkan sindiket seperti keuntungan yang berlipat kali ganda yang boleh diperolehi dalam tempoh singkat," katanya.
Tegasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan masyarakat dinasihatkan semak terlebih dahulu sekiranya mereka menerima apa-apa sahaja tawaran pelaburan yang meragukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!