[VIDEO] Kanak-kanak 12 tahun pandu kereta: Bapa didakwa cuai

A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang penjual karpet warga Pakistan, iaitu bapa kepada kanak-kanak lelaki 12 tahun, yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan, bertindak cuai hingga mungkin mendedahkannya kepada kecederaan fizikal, pada hujung bulan lalu.

Lelaki berstatus pemastautin tetap berusia 53 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki, berusia 12 tahun, telah mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkanya kepada kecederaan fizikal.

Seorang penjual karpet warga Pakistan (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuai hingga mungkin mendedahkan anaknya kepada kecederaan fizikal, pada hujung bulan lalu.
Seorang penjual karpet warga Pakistan (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuai hingga mungkin mendedahkan anaknya kepada kecederaan fizikal, pada hujung bulan lalu.

Dia dituduh gagal mengawasi kanak-kanak tersebut sehingga murid Tahun Enam berkenaan memandu kereta di Jalan Impiana 10, Taman Putra Impiana, Puchong di sini, pada jam 7.30 petang, 28 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta hukuman tambahan iaitu orang yang disabitkan atas kesalahan, perlu menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan, sekali setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Nabilla Rosli dari Tetuan Nadia Nabilla Rosli & Syaakirah membantah cadangan itu dan merayu anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar rendah.

"Dia merupakan penanggung tunggal, perlu menyara isteri yang juga suri rumah termasuk lima anak mereka berusia antara enam hingga 19 tahun.

"Ikat jamin yang dicadangkan pihak pendakwaan amat tinggi dan di luar batas kemampuannya, maka saya mohon anak guam diberi ikat jamin pada kadar rendah," katanya yang tidak membantah syarat tambahan berkenaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Fuad membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan memenuhi syarat tambahan yang dibuat pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, satu rakaman video tular berdurasi satu minit 49 saat, memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta Perodua Viva dengan membawa dua budak lain berusia empat dan enam tahun.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam, 28 Julai lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!