Geng Amin Remis aktif curi kabel kereta api tumpas

Bahrin (dua dari kanan) menunjukkan kabel isyarat kereta api yang dirampas dari Geng Amin Remis.
Bahrin (dua dari kanan) menunjukkan kabel isyarat kereta api yang dirampas dari Geng Amin Remis.
A
A
A

KLUANG - Polis menumpaskan Geng Amin Remis dianggotai empat lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kabel isyarat kereta api di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu berjaya ditahan sekitar jam 1 pagi pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, penahanan itu dilakukan selepas polis menerima laporan kecurian kabel di kawasan landasan kereta api berkembar di Pekan Layang-Layang daripada seorang lelaki tempatan pada 31 Julai lalu.

"Hasil daripada tangkapan itu, pihak polis berjaya merampas sebuah kereta jenis Proton Pesona, sebatang kunci, satu topi keselamatan warna kuning dan sebuah motosikal jenis Honda Ex5 warna biru.

"Turut dirampas sebuah kabel jenis fiber optic (685 meter), lapan gulung kabel yang sudah dipotong, sebuah gergaji pemotong besi warna hitam dan sebilah pisau (panjang - 19 cm)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada Rabu.

Bahrin berkata, polis percaya dengan penahanan kesemua suspek telah menyelesaikan lima kes kecurian kabel di daerah ini dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM20,000.

"Hasil semakan mendapati tiga dari empat suspek terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik, manakala seorang lagi tiada sebarang rekod.

"Kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tahanan reman dikenakan sehingga Rabu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!