Waris dua mangsa kemalangan terima Pencen Penakat PERKESO
KUALA TERENGGANU - "Alhamdulillah...wang diterima ini disimpan untuk melakukan kerja kebajikan serta mengerjakan ibadah haji," kata ibu kepada Muhammad Haniff Idham Mohd Azmi, 24, yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan dekat Jalan Kemajuan di sini pada 27 Julai lepas.
Rohana Mamat, 53, mengakui masih terkesan kehilangan anak bongsunya itu kerana arwah Muhammad Haniff Idham disifatkan sebagai anak yang baik kerana selalu membantu keluarga.
Beliau berkata, arwah anaknya itu layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Setiap kali saya masuk ke bilik arwah anak saya, sememangnya saya akan menangis terkenangkan dia.
"Arwah merupakan anak lelaki bongsu daripada tiga beradik. Dia seorang anak yang baik dan penyayang kerana sering memberi duit hasil gajinya kepada saya dan bapanya.
"Sepatutnya dia sudah mula bekerja di 'offshore' tetapi ALLAH lebih menyayanginya. Pemergian anak saya ini cukup memberi kesan kepada kami sekeluarga namun reda dan tabah mengharungi ujian ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Faedah PERKESO kepada waris di Wisma PERKESO di sini pada Selasa.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pasangan kekasih yang bakal melangsungkan majlis pertunangan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kemajuan di sini.
Nahas berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu meragut nyawa Muhammad Haniff Idham Mohd Azmi, 24 dan Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Muhammad Haniff Idham yang merupakan peniaga manakala Nurshabirah Izzani bekerja sebagai pembantu jualan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Sementara itu, Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin berkata, hasil semakan mendapati Muhammad Haniff Idham serta Nurshabirah Izzani merupakan pencarum PERKESO sekali gus melayakkan waris kedua mangsa layak mendapat faedah yang disediakan.
"Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 telah diberikan kepada waris bagi kedua mangsa.
"Waris iaitu ibu bapa kepada kedua mangsa layak mendapat Faedah Pencen Penakat. Mereka akan menerima faedah pencen bulanan untuk seumur hidup," ujarnya.
Dalam pada itu, Farihah menyatakan Nurshabirah Izzani layak memohon Faedah Orang Tanggung (FOT) susulan kematian mangsa adalah berkaitan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja serta diklafisikasikan sebagai bencana kerja.
"Selain itu, tiga adik arwah Nurshabirah Izzani juga akan turut menerima Faedah Pencen Penakat sehingga mencapai umur 21 tahun atau berkahwin," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!