PNK Kuantan bakal bina kilang ais bernilai RM7 juta
KUANTAN - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan bakal membina sebuah kilang ais berteknologi baharu bagi menampung keperluan dan permintaan bekalan ais di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.
Projek pembinaan kilang dalam kawasan Kompleks LKIM itu melibatkan kos RM7 juta.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerja-kerja pembinaan kilang itu dijangka bermula Januari tahun hadapan dan mula beroperasi Julai atau Ogos pada tahun sama.
Menurutnya, kilang itu dijangka mampu mengeluarkan 800 blok atau 100 tan ais dalam satu-satu masa.
"Kilang itu menggunakan empat mesin ais dengan setiap satunya mampu mengeluarkan 187 blok atau 25 tan ais mengambil masa hanya 15 jam untuk menyiapkan satu pusingan pengeluaran.
"Dengan pembinaan kilang ais oleh PNK Kuantan ini, ia dilihat dapat memenuhi permintaan bekalan ais di Kompleks LKIM Kuantan yang mencecah 1600 hingga 1800 blok sehari,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu PNK Kuantan dan Penyerahan Bantuan Titik Sentuhan Kepada Nelayan Kawasan Kuantan dan Pekan Tahun 2024 di Kompleks LKIM, Kemunting di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengarah LKIM Pahang, Faizal Puasa, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pahang (Pernepa), Zulkifli Jusoh dan Pengerusi PNK Kuantan, Talib Husin.
Muhammad Faiz berkata, ketika ini bekalan ais bergantung kepada pengeluaran dari kilang sedia ada milik Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berkapasti 1,000 blok ais sehari.
"Dengan adanya kilang ais baharu ini dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan ais terutamanya pada musim puncak ( September-Disember).
"Seterusnya projek ini juga dilihat mampu meningkatkan serta melancarkan aktiviti perikanan terutamanya aktiviti pembungkusan hasil tangkapan selain mendorong pertumbuhan pendapatan PNK Kuantan," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, LKIM Negeri Pahang telah menerima peruntukkan RM150,000 bagi Bantuan Titik Sentuhan tahun ini daripada RM3 juta yang diumumkan kerajaan bagi belanjawan 2024.
"Seramai 53 nelayan Zon A dalam kalangan B40 yang berkelayakan telah dipilih untuk menerima bantuan tersebut pada tahun ini.
"Pada majlis ini seramai 24 nelayan Zon A dari kawasan Kuantan dan Pekan dalam golongan B40 menerima bantuan peralatan menangkap ikan melibatkan peruntukkan RM75,000.
"Peralatan yang diserahkan kepada penerima hari ini melibatkan satu set enjin bot, generator (3), sonar pengesan ikan (3), pukat kaya (96 set), pukat udang (20 set) tong insulasi (16 unit), timah (110 kg), pelampung telur (5,510 set), kawat bubu (30 set) dan pukat kurau/pari (13 set)," jelasnya.
Beliau berkata, objektif bantuan itu bagi membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 selain meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.
Sempena majlis itu, turut diadakan penyerahan sumbangan tabung kebajikan dan bencana alam kepada lapan nelayan di bawah seliaan PNK Kuantan dengan jumlah keseluruhan RM 8,250.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!