Lari dari sekatan jalan raya rupanya
KEPALA BATAS - Sekumpulan penunggang motosikal bertindak melawan arus di Lebuhraya Lingkaran Luar Kulim Butterworth (BORR) di sini bagi mengelak ditahan polis dalam sekatan jalan raya yang diadakan pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, hasil siasatan mendapati kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 7 petang ketika kumpulan penunggang motosikal berkenaan melarikan diri dari sekatan jalan raya yang dilakukan.
Menurutnya, sekatan jalan raya itu dibuat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dengan kerjasama Bagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan SPU.
"Dalam operasi itu kita telah menahan seorang penunggang motosikal di bawah 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu serta menyita 25 kenderaan atas pelbagai kesalahan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Anuar turut memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan tidak bertindak sedemikian yang akan mengancam keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Terdahulu tular di laman sosial video sekumpulan mat rempit yang menunggang motosikal secara melawan arus.
Menerusi video berdurasi 0.38 saat, kumpulan penunggang berkenaan dilihat mempertaruhkan nyawa mereka ketika cuba melarikan diri dari Lebuhraya BORR Bagan Ajam dari arah plaza tol menghala ke Terminal Kontena Butterworth (NBCT) di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!