Karnival Kerjaya MYFutureJOBS PERKESO tawar lebih 5,000 pekerjaan
KUALA TERENGGANU - Lebih 5,000 kekosongan jawatan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya MYFutureJOBS Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 'Tiada Yang Terpinggir' 2024 Negeri Terengganu di Kuala Terengganu City Centre (KTCC Mall) pada 24 hingga 25 Ogos ini.
Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai jawatan kosong kepada golongan orang kurang upaya (OKU), orang asal serta golongan rentan lain sepanjang karnival itu diadakan.
Menurutnya, lebih 60 majikan juga terlibat menyertai karnival tersebut dengan menawarkan lebih 5,000 pekerjaan khusus kepada rakyat Terengganu.
"Kekosongan dalam pelbagai kategori jawatan bermula dari lepasan sekolah sehingga peringkat Doktor Falsafah (PhD).
"Semua rakyat berpeluang mendapatkan pekerjaan berstatus sementara, kontrak mahupun tetap dalam industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran, fizikal, pentadbiran atau pengurusan.
"Jadi kita sasarkan lebih dari 6,000 pengunjung bakal menghadiri karnival tersebut dan jangka lebih 20 peratus dari pencapaian tahun lepas akan disasarkan untuk penempatan pekerjaan.
"Oleh itu, orang ramai diminta untuk merebut peluang menyertai karnival ini kerana ia merupakan pengambilan kerja secara terus oleh majikan melibatkan penyertaan majikan seperti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Kuala Terengganu Medical Centre, KTCC Mall, Sogo, Astro, lima bank terbesar di Malaysia dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma PERKESO dekat sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Farihah memaklumkan berdasarkan rekod, seramai 5,320 kehadiran pengunjung dicatatkan pada sesi karnival yang dianjurkan pada tahun lepas.
Beliau menyatakan daripada jumlah itu, seramai 1,751 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan dan kemudian temuduga kedua.
"Jadi pada karnival tersebut juga seramai 474 orang telah mendapat surat tawaran pekerjaan pada hari karnival.
"Oleh itu, keseluruhan penempatan pekerjaan pada tahun 2023 termasuk dalam karnival adalah sebanyak 4,366 orang rakyat Terengganu telah ditawarkan pekerjaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!