Barang kawalan, subsidi bernilai RM71 juta dirampas

Azman (dua dari kanan) menyerahkan surat arahan pegawai bekalan kepada wakil pemilik stesen minyak pada Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada Pengusaha Stesen Minyak di Kedah di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani, di sini, pada Rabu.
Azman (dua dari kanan) menyerahkan surat arahan pegawai bekalan kepada wakil pemilik stesen minyak pada Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada Pengusaha Stesen Minyak di Kedah di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani, di sini, pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM71 juta melalui Ops Tiris 3.0 sejak 1 Januari hingga Isnin lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, rampasan terbabit diperolehi melalui 26,891 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,821 kes telah diambil melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM71 juta.

"Seramai 446 individu ditahan dalam tempoh yang sama melibatkan rakyat tempatan, penduduk tempatan dan warga asing menerusi Ops Tiris 3.0 tersebut.

"KPDN masih meneruskan Ops Tiris 3.0 bagi memastikan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi dapat dibendung daripada terus berleluasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada Pengusaha Stesen Minyak di Kedah di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin.

Azman memaklumkan, barangan kawalan itu meliputi minyak diesel, petrol RON95, minyak masak polibeg satu kilogram (kg), gula bertapis kasar dan halus, gas petroleum cecair (LPG) dan tepung gandum

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, KPDN menempatkan pegawai penguat kuasa di lapan lokasi pintu masuk sempadan negara iaitu di negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga penubuhan Single Border Agency (MCBA).

Kata Azman, usaha berkenaan dilaksanakan bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

"Sehingga kini, penguat kuasa di pintu masuk sempadan negara telah melakukan pemeriksaan ke atas 39,993 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak lapan kes telah dihasilkan," katanya.

Beliau berkata, KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu ataupun syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan termasuk tidak melakukan aktiviti pembelian berulang ke atas bahan api diesel dan petrol RON95.

Beliau berkata, tindakan tegas akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

Azman berkata, KPDN turut mengingatkan kepada semua pengusaha stesen minyak yang telah diberikan Arahan Pengawal agar sentiasa peka dan bertanggungjawab selain mematuhi arahan dan syarat-syarat lesen dikeluarkan.

Beliau menambah, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen yang berkaitan sekiranya didapati bersubahat dengan penyeludup.

Ketika diminta mengulas berhubung modus operandi baharu penyeludup yang beralih kepada penyeludupan petrol RON95, Azman berkata, KPDN mendapati kebanyakan penyeludup menggunakan kenderaan tempatan atau yang diubahsuai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Ada juga taktik baharu lain yang saya tidak dapat dedahkan di sini, risikan sedang dijalankan cuma mesej saya kepada mereka anda semua sedang diperhatikan," katanya.

Beliau berkata, KPDN juga tidak menolak kemungkinan untuk membuat pemeriksaan rekod jualan dan menempatkan pegawai di stesen minyak sekiranya mendapati berlaku peningkatan mendadak.

Sebelum itu, Azman menghadiri sesi perjumpaan bersama pengusaha stesen minyak di Kedah untuk penyerahan surat arahan kepada mereka berhubung larangan penjualan minyak diesel dan petrol RON95 secara berulang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!