Idea Nabil gunakan ‘kabel’ dekati Lee Zii Jia berhasil
IDEA penyampai radio dan pengacara popular, Nabil Ahmad untuk menggunakan nenek Lee Zii Jia sebagai ‘kabel’ bagi menarik perhatian pemenang pingat gangsa di Olimpik Paris nampaknya membuahkan hasil.
Masakan tidak, pemain badminton negara itu pantas mendekati neneknya dan Nabil terus melaksanakan misi untuk bergambar dengan lelaki berusia 26 tahun itu.
"Yes! Yes! Menggunakan 'kabel' nenek, kita berjaya!" kata Nabil dalam video yang dimuat naik di Instagram Era.
Bukan itu sahaja, Nabil yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut menyambut kepulangan beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta bergambar bersama mereka.
“Guys alhamdulillah misi selesai. Kita dapat jumpa Lee Zii Jia, dpt berjumpa Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
“Dapat bergambar walaupun sekejap sebab lihatlah keadaan macam mana, memang sibuk sangat,” katanya dalam hantaran video berbeza.
Nabil sebelum itu terpaksa berkejaran menanti ketibaan hero negara itu dari balai ketibaan antarabangsa ke domestik sebanyak dua kali, sebelum ketiga-tiga wira negara itu muncul di balai ketibaan domestik.
“Terima kasih banyak semua yang tunggu kita sejak pagi tadi. Dari (balai ketibaan) antarabangsa ke domestik, domestik ke antarabngsa dan kembali semula, sangat-sangat berbaloi, puas hati.
“Ini untuk pasukan Malaysia,” ujarnya lagi.
Lee Zii Jia berjaya membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pula sebelum itu menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam merebut pingat gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!