Anak redah api selamatkan bapa OKU
KLANG - Seorang lelaki sanggup meredah api untuk menyelamatkan bapanya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) berusia 70-an dalam kebakaran di Kampung Baru Klang pagi Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, lelaki warga emas itu selamat dengan kesan lecur 20 peratus, manakala anak lelakinya melecur kira-kira 10 peratus di kaki.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 7.54 pagi dan Balai Bomba dari Klang Selatan, Klang Utara dan Pelabuhan Klang bergegas ke tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran itu melibatkan dua rumah yang masing-masing musnah 40 dan 70 peratus.
Kedua-dua mangsa katanya dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
"Kita masih lagi menyiasat punca kebakaran," tambahnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!