Cubaan samun, polis buru empat lelaki

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memecahkan cermin kereta mangsa dalam satu kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas arah USJ, Subang Jaya, Selangor pada Rabu.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memecahkan cermin kereta mangsa dalam satu kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas arah USJ, Subang Jaya, Selangor pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan empat lelaki dipercayai cuba menyamun sebuah kereta berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas arah USJ, Subang Jaya dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pada jam 1.37 pagi.

Beliau berkata, mangsa dipercayai cuba disamun oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan kayu.

"Dalam kejadian ini, suspek yang menunggang motosikal telah menghalang dengan berhenti di hadapan kereta Toyota Estima yang dipandu mangsa.

"Suspek kemudiannya telah menghayun kayu ke arah cermin kenderaan mangsa sehingga pecah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Liew Wai Leong di talian 014-6884167 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!