Ibu tunggal OKU bimbang rumah makin uzur

Norsham menunjukkan keadaan bumbung rumahnya yang uzur.
Norsham menunjukkan keadaan bumbung rumahnya yang uzur.
A
A
A

REMBAU - Seorang ibu tunggal yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran bimbang apabila kediamannya di Kampung Baru Titian Akar dekat sini semakin uzur.

Norsham Mustafa, 59, yang sebelum ini menetap di Muar, Johor tinggal di rumah pusaka keluarganya berusia lebih 60 tahun itu kira-kira lima tahun lalu selepas kematian suaminya.

Menurut adiknya, Rozita Mustafa, 57, kakaknya mempunyai seorang anak perempuan dan telah mendirikan rumah tangga, namun kekangan kewangan menyebabkan mereka sekeluarga tidak mampu membaiki rumah tersebut terutamanya pada bahagian bumbung.

"Bagaimanapun permohonan untuk membaiki rumah telah dibuat melalui agensi berkaitan sebelum ini termasuk Baitulmal.

"Alhamdulillah, Baitulmal ada salurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,500 namun jumlah tersebut tidak dapat menampung kos baiki bumbung rumah yang dianggarkan RM10,000," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman itu pada Selasa.

Ujarnya yang tinggal bersebelahan dari rumah pusaka berkenaan, kebimbangannya adalah apabila musim hujan,mereka terpaksa tadah air dalam besen selain keadaan dinding papan yang semakin mereput.

"Kakak memang tidak bekerja dan hanya bergantung dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300," katanya yang berharap permohonan berkenaan dapat disegerakan sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Pegawai Daerah Rembau,Mohd Zamri Mohd Esa ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap permohonan wanita berkenaan pada 26 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pengadu tinggal berseorangan dan berjiran dengan saudara kandungnya manakala keadaan rumahnya sangat uzur kerana atap bocor serta tiang kayu rumah juga reput.

"Permohonan baik pulih rumah akan diangkat ke dalam Mesyuarat Focus Group Daerah (FGD) Bil. 3/2024 pada 25 September nanti untuk tindakan lanjut,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!