SSPA: 692,828 kumpulan pelaksana bakal nikmati kadar kenaikan tertinggi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 692,828 kakitangan kumpulan pelaksana melibatkan pegawai Gred 40 dan ke bawah bakal menikmati kenaikan pendapatan sehingga 42.7 peratus.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, gambaran awal secara keseluruhan perincian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu boleh didapati pada minggu hadapan.

"Bermula minggu depan, kita akan dapat gambaran secara umum peningkatan pendapatan gaji penjawat awam sekitar 14 hingga 47 peratus.

"Peningkatan ini menyaksikan kumpulan pelaksana paling tinggi manakala Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Penerangan, peningkatannya sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini pada Rabu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beberapa aspek yang melibatkan implikasi kewangan susulan pelaksana SSPA turut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

"Mesyuarat hari ini diingatkan beberapa aspek implikasi kewangan. Ia bukan hanya perlu di bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri tetapi juga dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober di Parlimen.

"Untuk perincian terutamanya jumlah yang perlu diperuntukkan akan dapat diteliti dalam dokumen Belanjawan 2025," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan meneruskan usaha pendaftaran syarikat swasta yang ingin turut serta dalam program Dasar Gaji Progresif.

"Sekiranya ada syarikat yang berminat boleh berhubung dengan Kesuma untuk pendaftaran," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Jumaat minggu depan.

Setakat ini, perkhidmatan awam mempunyai seramai 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara.

Semasa sambutan Hari Pekerja Mei lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara.

Kenaikan itu dijangka melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!