WUIF, media jalin sinergi promosi Malaysia #QuranHour 2024

Datuk Hussamuddin Yaacub( tujuh dari kiri) bergambar bersama rakan sinergi media pada Majlis Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #Quranhour di Kumpulan Karangkraf.
Datuk Hussamuddin Yaacub( tujuh dari kiri) bergambar bersama rakan sinergi media pada Majlis Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #Quranhour di Kumpulan Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berkolaborasi bersama pengamal media dan rakan strategik lain bagi mempromosikan serta membawa gelombang Malaysia #QuranHour 2024 kepada orang ramai.

Penolong Pengarah Unit Penyelaras Bahagian TV Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Risham Abd Manap berkata, kerjasama itu adalah sesuatu yang baik demi ummah bukan sahaja kepada umat Islam bahkan bukan Islam.

Risham Abd Manap
Risham Abd Manap

Menurutnya, sebagai penyiar rasmi Malaysia #QuranHour 2024, RTM berperanan membuat hebahan mengenai program tersebut.

"Kami akan menghebahkan Malaysia #QuranHour 2024 di 34 saluran radio RTM melibatkan semua peringkat negeri dan daerah.

"Pada 30 Ogos ini, program tersebut akan bersiaran secara langsung di TV1 pada jam 10 pagi.

"Sebagai penyiar utama, diharap program berkenaan mendapat sambutan daripada masyarakat untuk sama-sama membaca al-Quran di samping memahami maksud kemerdekaan menerusi penjelasan berkait Rukun Negara daripada dua surah.

"Selain itu, semoga generasi baharu terutamanya golongan muda dapat memupuk rasa cinta kepada al-Quran apabila menyerta program ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour 2024 pada Rabu.

Turut hadir, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Antara wakil media terlibat ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.

Malaysia #QuranHour kali ke 10 ini bertemakan "Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara" dengan berpandukan Surah al-Jumu'ah dan surah al-Hujurat dengan tujuan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat melalui penghayatan Rukun Negara dan nilai-nilai murni dalam al-Quran dan Sunnah.

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan serentak di seluruh negara dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 10 pagi hingga 11 pagi, 30 Ogos 20204.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim berkata, pihaknya sangat teruja apabila sekali lagi dapat bekerjasama dengan WUIF dalam menjayakan program Malaysia #QuranHour 2024.

Nadirah Karim
Nadirah Karim

Beliau memberitahu, sudah tentu pihaknya akan lakukan yang terbaik dalam usaha untuk menguar-uarkan program itu kepada orang ramai.

"Saya kira lebih setahun saya adakan program #Quranhour di Oasis. Sudah banyak episod kami siarkan dan saya rasa apa yang WUIF buat ini sangat bagus.

"Jadi ini merupakan satu inisiatif mengabungkan semua pengamal media Islam tidak kira elektronik atau cetak, benda inilah menyatukan kami.

"Saya sangat gembira apabila kita tahu perkara yang dilakukan ini memberi kebaikan kepada masyarakat.

"Jadi, kepada mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal, mereka boleh menonton di televisyen. Yang penting semua dapat menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian," jelasnya.

Tambahnya, sudah tentu banyak kelebihan apabila menjadikan al-Quran asas panduan hidup dan peluang itu tidak sepatutnya disia-siakan

"Kami rasa ia adalah amal jariah untuk kami dan juga sebagai tanggungjawab korporat sosial," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!