KPDN pertimbang letak pegawai di stesen minyak catat jualan mendadak

Azman (empat dari kanan) pada sidang media selepas menyerahkan surat arahan larangan penjualan minyak diesel dan petrol RON95 secara berulang kepada pengusaha stesen minyak pada Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada Pengusaha Stesen Minyak Kedah di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani, hari ini. Foto Bernama
Azman (empat dari kanan) pada sidang media selepas menyerahkan surat arahan larangan penjualan minyak diesel dan petrol RON95 secara berulang kepada pengusaha stesen minyak pada Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada Pengusaha Stesen Minyak Kedah di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menolak kemungkinan untuk menempatkan pegawai di stesen minyak yang mencatatkan jualan mendadak bagi memantau aktiviti penjualan minyak.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, tindakan itu sebagai salah satu langkah pencegahan dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.

"Sekiranya kita dapati stesen minyak itu mengalami peningkatan jualan yang mendadak, kita ada tindakan...yang pertama, kita tidak menolak kemungkinan untuk menempatkan pegawai di stesen berkenaan.

"Ini sebagai satu langkah untuk melihat sama ada penjualan itu selama ni betul atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada pengusaha stesen minyak negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa stesen minyak yang kehabisan bekalan lebih awal berbanding kebiasaannya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPDN juga akan membuat pemeriksaan rekod jualan membabitkan stesen minyak berkenaan.

"Kita akan meletakkan tanggungjawab itu bukan sahaja kepada stesen minyak tetapi juga terhadap syarikat minyak supaya mereka sama-sama memantau.

"Setiap liter dikeluarkan, diisi oleh kenderaan, itu bermakna ada subsidi kerajaan yang ditanggung...jadi sebab itu kita akan mengambil langkah-langkah bersesuaian untuk mengatasinya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!