Kontraktor ambil tindakan segera atasi pencemaran habuk

Mesin penghancur mudah alih yang dikatakan menjadi punca pencemaran habuk yang berlaku. (Pihak kontraktor melaksanakan kerja-kerja penyiraman air secara manual di kawasan projek.)
Mesin penghancur mudah alih yang dikatakan menjadi punca pencemaran habuk yang berlaku. (Pihak kontraktor melaksanakan kerja-kerja penyiraman air secara manual di kawasan projek.)
A
A
A

GEORGE TOWN - Masalah pencemaran habuk yang didakwa berpunca dari tapak projek jalan pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam (Pakej 2) dekat sini telah diatasi oleh kontraktor berkenaan.

Penang Infrastructure Corp Sdn Bhd (PIC) menerusi satu kenyataan menjelaskan pencemaran habuk itu berpunca daripada pengoperasian mesin penghancur mudah alih yang digunakan.

Menurutnya, pihak kontraktor telah mengambil tindakan segera dengan mengalihkan mesin tersebut ke lokasi berdekatan kelompok pokok besar yang bertindak sebagai penghalang semula jadi daripada habuk berterbangan.

"Bagi mengatasi masalah habuk di sepanjang jajaran projek pula, beberapa tindakan mitigasi telah diambil antaranya mempergiat kerja-kerja penyiraman air dengan kekerapan sekurang-kurangnya empat kali sehari menggunakan jentera yang mampu menyiram air dengan isipadu lebih tinggi.

"Selain itu, pihak kontraktor juga meletakkan pekerja sepenuh masa di kawasan kritikal bagi melaksanakan penyiraman air secara manual, serta melaksanakan pemasangan tirai penghalang habuk bagi mengurangkan kejadian debu berterbangan," katanya.

Sementara itu, bagi aduan terdapat cerun yang tidak ditutupi, PIC memaklumkan kerja-kerja pelindungan cerun hanya boleh dilaksanakan bagi kawasan yang tidak melibatkan kerja-kerja pembinaan.

Jelasnya, bagi cerun-cerun yang telah mencapai aras binaan, kerja-kerja pelindungan cerun kekal telah dilaksanakan seperti pepaku tanah, guniting, penanaman rumput hydroseeding dan juga turfing.

Tambah kenyataan itu, pihak kontraktor telah pun mengadakan sesi dialog bersama-sama penduduk Seri Delima, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan ADUN Seri Delima pada 29 Julai yang lalu.

Artikel Berkaitan:

"Perbincangan susulan bersama ADUN Seri Delima juga telah diadakan pada pagi 6 Ogos bagi membincangkan tindakan susulan yang telah diambil di tapak," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!