Orang awam kejar pemandu mabuk langgar pelajar sekolah

Dua pelajar sekolah yang terlibat dalam kemalangan selepas dilanggar pemandu mabuk di
lampu isyarat Cheng Height pada Selasa.
Dua pelajar sekolah yang terlibat dalam kemalangan selepas dilanggar pemandu mabuk di lampu isyarat Cheng Height pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara melanggar dua pelajar sekolah, seorang pemandu mabuk akhirnya dicekup orang ramai selepas didakwa melarikan diri dalam kejadian di lampu isyarat Cheng Height dekat di sini pada Selasa.

Kejadian lebih kurang jam 4 petang itu, menyebabkan kedua-dua pelajar yang berusia 17 tahun itu mengalami luka-luka di bahagian kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Sekolah Menengah Tun Haji Abdul Malik di Cheng menghala ke arah Krubong.

Menurutnya, ketika sedang bergerak lurus berhampiran lampu isyarat berkenaan, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza didakwa mengubah laluan secara mengejut dan berlanggar dengan motosikal mangsa.

"Selepas kejadian itu pemandu kereta berusia 25 tahun itu bagaimanapun terus melarikan diri sebelum dikejar oleh orang awam.

"Bagaimanapun orang ramai berjaya menahannya di sebuah kedai roti canai Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Bachang," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Malim dan tindakan lanjut dilakukan oleh Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah mendapati pemandu berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, pemandu itu telah ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah dan perintah reman selama tiga hari bermula hari Rabu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Malah hasil keputusan ujian alkohol yang dilakukan mendapati di positif dengan keputusan ujian SD2 280 mL/100mL/Ujian Hembusan Pertama 170mg/100mL /Ujian Hembusan Kedua 172mg/100mL," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!