Malaysia #QuranHour fokus erti merdeka, memaknai Rukun Negara

Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 kali ke-10 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Gambar kecil: Marhaini
Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 kali ke-10 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Gambar kecil: Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 kali ke-10 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya memfokuskan erti kemerdekaan atau bebas daripada perhambaan sesama manusia, sebaliknya hanya berserah kepada ALLAH SWT.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, ia selari dengan tema iaitu 'Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara' yang bertujuan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat menerusi penghayatan Rukun Negara, nilai murni, al-Quran serta Sunnah.

"Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Sekiranya faham makna Rukun Negara serta mengamalkannya, kita mampu capai kemakmuran.

"Perkara yang digagaskan adalah tauhid (keyakinan) dan ketandusan akhlak seperti tidak tabayyun, tidak menjaga tutur kata, mementingkan diri sendiri serta menghina atau mencari kesalahan orang lain.

"Jadi, kita bawakan dalam bentuk sistem melalui Rukun Negara kerana ia sangat luar biasa memandangkan di dalamnya sudah tersedia elemen tauhid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis taklimat sinergi media Malaysia #QuranHour 2024 bertempat di Studio My #QuranTime, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Program tersebut mengetengahkan bacaan surah al-Jumu’ah dan surah al-Hujurat yang bertujuan memperkukuhkan perpaduan rakyat serta disiarkan secara langsung di seluruh negara bermula jam 10 hingga 11 pagi.

Antara wakil media terlibat ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.

Artikel Berkaitan:

Malaysia #QuranHour dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi lain termasuk Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), badan bukan kerajaan (NGO) dan penglibatan universiti tempatan.

Marhaini memaklumkan, inisiatif kempen jenama berkenaan seperti Malaysia #QuranHour, World #QuranHour, Arafah #QuranHour dan World #QuranConvention telah mencapai 7.3 bilion jumlah penyertaan sepanjang perjalanan satu dekad.

"Kalau dilihat perjalanan #QuranHour dari 2015, kita mulakan dengan solidariti 30 juzuk dan ketika itu capaian diterima sebanyak 21 juta.

"Sehingga tahun ini kita sudah capai 7.3 bilion. Terima kasih kepada semua sahabat media yang bersatu padu dalam mempromosikan dan mengembangkan jenama #QuranHour," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!