FAM percaya sokongan peminat terhadap Harimau Malaya kekal utuh

Noor Azman. Foto Bernama
Noor Azman. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) percaya sokongan padu peminat tanah air terhadap pasukan bola sepak negara tetap utuh meskipun Kim Pan-gon tidak lagi bersama skuad Harimau Malaya.

Menjelang pertandingan Pestabola Merdeka 2024 bulan depan, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, ini kerana legasi pengendali dari Korea Selatan itu akan diteruskan pembantunya Pau Marti Vicente yang kini menggalas tugas ketua jurulatih interim dan dibantu barisan kejurulatihan sama.

"Pandangan kami (FAM) nampak okey sebab pembantu jurulatih Pau Marti sebagai ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan lain masih ada...saya rasa perkara itu tiada masalah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Undian Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah FAM gusar ketiadaan Pan-gon akan menjejaskan sokongan peminat terhadap pasukan negara pada Pestabola Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 8 Sept depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pada pertandingan bola sepak berprestij Asia yang memasuki edisi ke-43 itu, Malaysia diundi bertemu Filipina sementara juara bertahan Tajikistan berdepan Lubnan dalam aksi separuh akhir pada 4 September sebelum pemenang akan berentap di final pada 8 September.

Peminat boleh membeli tiket kombo berharga RM70 bagi Kategori Terbuka untuk menyaksikan kesemua empat aksi Pestabola Merdeka 2024 yang dibuka untuk tempoh terhad selama 14 hari bermula hari ini hingga 20 Ogos di www.tickethotline.com.my.

Sementara tiket biasa pula akan mula dijual bermula 21 Ogos hingga ke hari perlawanan.

Harga tiket untuk setiap hari perlawanan ialah RM40 bagi dewasa dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) untuk Kategori Terbuka, diikuti Kategori Grandstand (RM60) dan Kategori Premium RM80.

Artikel Berkaitan:

Pada Pestabola Merdeka 2023, Malaysia yang menewaskan India di separuh akhir, muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di final.

Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali dengan kali terakhir memenanginya pada edisi 2013. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!