Semua wakil rakyat Kelantan terima peruntukan termasuk pembangkang

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menyediakan pelbagai peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini termasuk untuk wakil rakyat pembangkang.

Justeru, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menafikan dakwaan mengatakan ada wakil rakyat tidak menerima peruntukan berkenaan.

"Peruntukan itu disediakan termasuk melalui Pejabat Tanah dan Jajahan, Exco kerajaan negeri dan secara berkala.

"Dakwaan itu sangat tidak betul kecuali beliau tidak peka kepada rakyat kerana kerajaan (negeri) menyediakan peruntukan sama dengan wakil rakyat lain," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada Rabu.

Jelas beliau, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud juga sudah memaklumkan peruntukan akan diberikan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.

"Kita ada peruntukan secara berkala contohnya membabitkan peserta ladang rakyat dan Skim Bantuan Az-Ziwaaj yang sentiasa dimanfaatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum ini media melaporkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim mendakwa beliau dinafikan hak ketika menjadi ADUN dan tidak pernah menerima peruntukan daripada kerajaan negeri.

Mohd Azizi turut mencabar pimpinan Pas mengemukakan bukti bahawa beliau menerima peruntukan sehingga menggelarkan dirinya tamak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai PRK DUN Nenggiri, Mohamed Fadzli berkata, Pas mahu menang bergaya di DUN itu dengan membabitkan undian kira-kira 2,500 Orang Asli.

"Sebelum ini kita mendapat sokongan lebih 90 peratus Orang Asli. Jentera PN yang berada di sana juga sudah diterima penduduk Nenggiri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!