Tinggal solat tapi berhati baik, bolehkah masuk syurga?

WALAUPUN berhati baik sekalipun, tetapi meninggalkan solat, ia bukan jaminan untuk seseorang ke syurga. Sebaiknya, lakukan segala perintah ALLAH dan tinggalkan segala larangan-NYA. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
WALAUPUN berhati baik sekalipun, tetapi meninggalkan solat, ia bukan jaminan untuk seseorang ke syurga. Sebaiknya, lakukan segala perintah ALLAH dan tinggalkan segala larangan-NYA. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
A
A
A

TIDAK dinafikan terdapat individu culas dalam menunaikan sembahyang. Kadangkala bukan disebabkan keuzuran, tetapi sengaja tinggal solat atas alasan yang tidak masuk akal.

“Walaupun tak solat, tapi hati saya baik.”

Demikianlah antara pernyataan yang kedengaran daripada segelintir individu berkenaan. Malah, ada yang menyangkakan, mereka boleh masuk ke jannah walaupun meninggalkan solat kerana sifatnya yang baik itu.

Memperbetulkan sangkaan itu, pendakwah Ustaz Adnin Roslan menegaskan, semua amalan baik seseorang tidak akan diterima sekiranya meinggalkan solat.

USTAZ ADNIN
USTAZ ADNIN

Ini kerana perkara pertama yang akan ditanya pada hari akhirat nanti ialah solat.

“Kalau kita solat pun gagal, semua amalan lain ‘tak lepas’. Sebab itulah, baik macam mana pun jika tidak solat, kita sebenarnya tidak baik.

Artikel Berkaitan:

“Jika tak solat, kita ada kemungkinan yang tinggi untuk masuk ke dalam neraka,” katanya menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Ia berdasarkan firman ALLAH SWT: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan yang mengerjakan solat...” (Surah al-Muddaththir: 42)

Melihat kepada nas itu, ujar Ustaz Adnin, jelas bahawa penghuni neraka termasuklah mereka yang tidak solat.

“Bukan itu sahaja, Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim dan Ahmad pernah menyatakan ‘Sesungguhnya yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir dan syirik iaitu meninggalkan solat’.

“Maksudnya kalau tak solat, kita ada ciri-ciri kekufuran,” katanya.

Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka gugurlah amalannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Selain itu, Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia terlepas daripada perlindungan ALLAH.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi dan Ahmad)

SOLAT menjadi amalan pertama yang akan ditanya ketika di akhirat nanti. -Foto: Canva
SOLAT menjadi amalan pertama yang akan ditanya ketika di akhirat nanti. -Foto: Canva

Berdasarkan nas itu, ujar pendakwah tersebut, jelas sekali apa sahaja amalan kebaikan dilakukan waima bersedekah mahupun membantu orang lain menjadi sia-sia andai kita culas mendirikan sembahyang.

“Lebih dahsyat lagi apabila kita tidak dapat perlindungan ALLAH SWT. Agak-agaknya di manakah pengakhiran kita nanti? Neraka, sahabat-sahabat sekalian, na’uzubillahi min dzalik,” katanya.

Ancaman itu bukan hanya dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis, bahkan tegas Ustaz Adnin, para sahabat turut mengungkapkannya agar kita tidak meremeh-remehkan ibadah berkenaan.

Umar bin Al-Khattab misalnya mengatakan: “Seseorang itu tidak akan bernasib baik di dalam Islam jika dia meninggalkan solat.”

Sementara itu, Ali bin Abi Talib pula berkata: “Sesiapa yang tidak solat, maka dia sebagai tidak beragama.”

Ibnu Abbas RA menyatakan: “Sesiapa yang meninggalkan solat sekali sahaja dengan sengaja, maka dia akan menghadap ALLAH SWT dalam keadaan mendapat kemurkaan.”

Bayangkan jika banyak kali meninggalkan solat, jelas Ustaz Adnin, sudah tentu betapa besarnya kemurkaan ALLAH SWT kepada diri kita.

“Mengertilah, ALLAH MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG, DIA tawarkan jika kita bertaubat, memohon ampun, mengaku salah dan meninggalkan dosa tersebut iaitu tidak lagi tinggalkan solat bermula hari ini, ALLAH akan ampunkan semua dosa kita.

“Ingatlah, solat ini mudah sahaja bagi mereka yang mencintai ALLAH, tetapi menjadi sangat berat jika hati kita dipenuhi dengan cinta dunia,” titipnya.

Memetik artikel Irsyad Hukum Siri ke-77: Adakah orang yang meninggalkan solat amalan baiknya yang lain diterima,Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, berdosa besar hukumnya meningalkan solat dan ia akan mengundang kemurkaan serta azab daripads ALLAH SWT.

Menurut pandangan Mazhab Syafie, individu yang meninggalkan solat kerana malas dan pada masa sama tidak mengingkari kewajipannya, maka ia dikategorikan sebagai fasik dan hendaklah bertaubat serta menggantikannya.

DARI segi ganjaran amalan baik yang lain, ALLAH SWT akan mengambil kira amalan tersebut walau sebesar mana sekalipun sama ada baik atau buruk. -Foto: Canva
DARI segi ganjaran amalan baik yang lain, ALLAH SWT akan mengambil kira amalan tersebut walau sebesar mana sekalipun sama ada baik atau buruk. -Foto: Canva

“Namun dari segi ganjaran amalan baik yang lain, ALLAH SWT akan mengambil kira amalan tersebut walau sebesar mana sekalipun sama ada baik atau buruk.

“Bagaimanapun, sememangnya ada sebahagian ulama yang menyatakan, orang yang meninggalkan seluruh solat fardu dengan sengaja, maka amalan-amalan soleh lain tidak diterima oleh ALLAH,” katanya.

Bagi mereka yang tertinggal solat secara sengaja tanpa keuzuran, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan, wajib dirinya menggantikan solat itu dengan segera.

“Kepada mereka yang tertinggal solat kerana keuzuran seperti tertidur atau terlupa, maka sunat untuk segera menggantikan solat berkenaan.

“Jika seseorang Muslim tertinggal beberapa waktu solat, dia wajib menggantikan kesemua sembahyang itu. Namun, sunat baginya untuk menggantikannya mengikut susunan dan turutan waktu solat bermula dengan Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!