Pita Limjaroenrat dilarang sertai politik selama 10 tahun, MFP dibubar
BANGKOK - Ahli politik paling popular di Thailand, Pita Limjaroenrat dilarang menyertai politik selama 10 tahun malah parti beliau, Move Forward Party (MFP) yang menang besar pada Pilihan Raya Umum juga dibubarkan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat Mahkamah Perlembagaan di Bangkok selepas MFP pernah mencetuskan kontroversi berhubung rancangan mereka untuk melakukan pembaharuan terhadap Undang-undang lese-majeste.
"Larangan sama dikenakan terhadap lembaga eksekutif MFP," ujar Hakim Punya Udchachon pada Rabu.
Sebelum ini, populariti pemimpin prodemokrasi berusia 43 tahun itu melonjak menjelang pemilihan tersebut hingga membawa kepada kemenangan MFP, namun cubaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri telah disekat Senat yang dilantik junta tentera.
Karier politik semakin goyah pada Mac lalu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan permohonan untuk membubarkan MFP meskipun meraih sokongan meluas.
Ia berpunca daripada ikrar parti terbabit yang mahu meminda undang-undang tersebut kerana didakwa sebagai cubaan untuk menggulingkan monarki. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!