Pengendalian pesakit koronavirus dilakukan dengan cermat: Pakar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengendalian pesakit yang dikaitkan dengan wabak koronavirus dalam negara dilakukan penuh cermat dengan rawatan mereka bermula sebaik sahaja pesakit itu disyaki dijangkiti virus berkenaan.

Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Yasmin Muhamed Gani berkata, proses isolasi terhadap pesakit yang disyaki akan dimulakan awal dan mereka tidak akan ditempatkan di wad awam.

“Apabila kami (pengamal kesihatan) ada pesakit dengan simptom (koronavirus), kami memang akan kuarantin dan asingkan mereka. Kami akan henti isolasi sekiranya keputusan ujian terhadap pesakit disahkan negatif dan mereka telah pulih sepenuhnya.

“Lazimnya, keputusan ujian pengesanan yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dapat diketahui dalam tempoh 24 jam, dan sekiranya ujian mengesahkan positif, kami akan teruskan dengan isolasi pesakit dan dipantau rapi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dikenali sebagai 2019-nCoV, koronavirus yang menyebabkan keadaan seperti radang paru-paru mula dikesan pada Disember lepas di Wuhan, China dan gejala jangkitan termasuk demam, batuk dan sukar bernafas.

Dr Yasmin berkata, staf yang menjaga pesakit koronavirus juga amat berpengalaman dalam mengendalikan penyakit berjangkit.

“Kami mempunyai pasukan berdedikasi yang terlatih akan jaga pesakit. Mereka (doktor/jururawat) akan bertugas secara berpasangan (untuk pemantauan) minimum dua kali sehari.

“Kenapa berdua? Supaya mereka boleh pantau sesama mereka untuk mengelakkan sebarang kesilapan rawatan dan sebagainya. Di luar (bilik) juga ada seorang yang akan menjaga untuk memastikan dua orang berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut katanya cara pemakanan pesakit adalah mengikut diet hospital manakala utensil makanan mereka terdiri daripada jenis pakai buang bagi mengelakkan penyebaran virus.

Mengenai cara pengesanan koronavirus pula, katanya ia akan dilakukan menerusi pemeriksaan kahak manakala bagi pesakit yang tiada kahak, doktor akan menggunakan kaedah Oropharyngeal swab iaitu pemeriksaan menerusi bahagian dalam hidung.

“Setiap pengendalian spesimen turut dilakukan dengan penuh bertanggungjawab dan ia akan dimasukkan di dalam bungkusan tiga lapis bagi mengelak penyebaran virus,” katanya.

Setakat ini, tujuh individu disahkan positif koronavirus di negara ini dengan kesemua kes itu melibatkan warganegara China.

Dr Yasmin berkata, tiga individu terbaharu yang dilaporkan positif awal pagi tadi pula berada dalam keadaan stabil dan pemantauan sedang dilakukan dengan rapi.

Sementara itu mengenai langkah pencegahannya pula, Dr Yasmin menyarankan agar kebersihan diri sentiasa dijaga setiap masa.

“Sentiasa cuci tangan, elakkan daripada menggosok muka dan mata tanpa membasuh tangan. Juga elakkan kontak dengan haiwan liar dan adalah selamat untuk memakai topeng muka.

“Mereka yang rasa ada sakit tekak, batuk atau simptom lain dinasihatkan berjumpa doktor dengan kadar segera untuk dimulakan rawatan awal,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!