PRK DUN Mahkota: UMNO Johor harap semangat perpaduan PH-BN mampu selesaikan isu

Laporan Sinar Harian. (Abdul Halim)
Laporan Sinar Harian. (Abdul Halim)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diharapkan tidak mencetuskan pertelingkahan sebaliknya dapat diselesaikan dengan semangat perpaduan dan istiqamah.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, semua pihak perlu menunggu dan tidak berburu-buru mengeluarkan kenyataan yang akan mengeruhkan keadaan.

Beliau percaya pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor peka mengenai persefahaman dan ketetapan yang telah dipersetujui bersama di peringkat nasional dalam beberapa siri berdasarkan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

"Seperti yang kita sedia maklum, dalam perbincangan dan persetujuan sebelum ini, siapa sahaja calon yang menduduki kerusi itu harus diganti dan diisi oleh calon daripada parti yang sama atau yang menang sebelum ini.

"Jadi, jangan kita terburu-buru mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaaan. Jangan kerana perebutan kerusi DUN Mahkota, kita hilang arah dan punca untuk mendapatkan tempat dan jawatan dalam kerajaan ini," ujarnya menerusi hantaran video di TikTok pada Rabu.

Mengulas mengenai desakan dan syarat Amanah kepada kerajaan negeri, Halim memaklumkan, bukan mudah untuk kerajaan negeri sesuka hati mengubah polisi yang ditetapkan termasuklah lantikan Exco kerajaan negeri, ahli majlis dan ketua kampung.

"Apabila ada yang mempertikaikan (tidak mengikut acuan Kerajaan Perpaduan), mereka kena ingat BN yang bergerak solo memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022. Sebagai parti yang bersama-sama dalam gabungan ini, harus menghormati keadaan berkenaan.

"Walaupun tak ada jawatan dalam kerajaan, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berlaku adil dengan memberi peruntukan ke kawasan masing-masing bagi perkara berkaitan untuk diselesaikan mengikut ketetapan yang dipersetujui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Amanah Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota, yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, dilaporkan berkata ia berikutan Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 2022.

Namun beliau dilaporkan berkata, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri sedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai ahli majlis dan ketua kampung, Amanah sedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!