Rakyat Malaysia diminta tangguh perjalanan ke Bangladesh
PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia diminta agar menangguh semua perjalanan ke Bangladesh selepas mengambil kira situasi negara itu yang masih sukar diramalkan.
Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya memantau rapat situasi di Bangladesh.
"Kementerian ini juga mengambil maklum pembentukan kerajaan interim Bangladesh bagi memastikan urusan pentadbiran negara dapat berfungsi seperti biasa," kata kenyataan itu pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, warga Malaysia yang berada di negara itu juga dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.
"Mereka juga perlu sentiasa berwaspada, mengelak daripada berada di kawasan konflik dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan," kata kenyataan itu.
Sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia boleh berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka di alamat House No. 19, Road No. 6, Baridhara Diplomatic Enclave, Dhaka – 1212, 880241081892 / 1895, 88 018 4179 8077 atau e-mel mwdhaka@kln.gov.my.
"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu.
Pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis sejak Julai lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 280 individu dilaporkan terbunuh setakat Ahad.
Ia merupakan keganasan terburuk sejak kelahiran negara Asia Selatan itu lebih lima dekad lalu.
Pergolakan berlaku ketika pemimpin pelajar telah mengisytiharkan kempen keingkaran awam untuk menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletakkan jawatan.
Sheikh Hasina kemudiannya akur dengan desakan dengan mengumumkan peletakan jawatan sebelum meninggalkan Bangladesh pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!