Mahkamah arah kerajaan serah semula 106.5 hektar tanah Duta Enclave

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan permohonan pelikuidasi syarikat Semantan Estate (1952) Sdn Bhd untuk mendapatkan semula tanah di Jalan Tuanku Abdul Halim (sebelum ini dikenali Jalan Duta) yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan kepada syarikat berkenaan.

Keputusan itu membabitkan pengembalikan tanah seluas 106.542 hektar yang dikenali sebagai 'Duta Enclave' kepada pemilik asal syarikat (Semantan Estate), yang menempatkan antaranya bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Hakim Ahmad Shahir
Hakim Ahmad Shahir

Memetik laporan The Edge, Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas mahkamah membenarkan permohonan syarikat terbabit untuk menguatkuasakan perintah 2009.

Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula Selasa.

Katanya, mahkamah membenarkan pelikuidasi syarikat sebagai pemilik asal tanah dan kerajaan diarah membayar kos sebanyak RM50,000.

Mahkamah juga membenarkan permohonan syarikat selaku plaintif, agar kerajaan mendaftarkan pelikuidasi Ladang Semantan sebagai pemilik rasmi tanah dan bebas daripada bebanan.

Ia termasuk kertas kerja undang-undang yang diperlukan secara lengkap untuk memindahkan hak milik tanah, mengeluarkan hak milik tanah baru atas nama pelikuidasi dan mengembalikan pemilikan fizikal tanah kepada pemilik sah.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu sekali gus menyelesaikan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia sejak merdeka iaitu selama hampir tujuh dekad.

Semantan Estate mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman oleh Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah seluas 106.542 hektar di sini.

Semantan Estate memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap beberapa responden, termasuk kerajaan Malaysia, mendapatkan perintah mandamus, antara lain mengarahkan responden untuk memindahkan hak milik tanah tersebut kepada syarikat itu.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pengambilalihan tanah yang dimiliki Semantan Estate tidak dilaksanakan secara sah dan kerajaan tidak memperoleh tanah terbabit secara sah.

Semantan Estate diberikan award yang akan dinilai oleh Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak pada 18 Mei 2012.

Pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan berkenaan.

Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan semakan kerajaan pada 2018

Syarikat itu sebelum ini menuntut RM3.1 bilion, tetapi jumlah ini boleh dinaikkan kepada RM6.646 bilion dengan faedah mudah dan RM13.242 bilion dengan faedah kompaun.

Bagaimanapun, kerajaan berhujah pampasan itu sepatutnya dalam lingkungan RM290 juta sahaja.

Berdasarkan harga pasaran semasa, tanah tersebut boleh mencecah RM5.5 bilion.

Semantan Estate diasaskan oleh Eng Lian Group dan Ng Chin Siu Sons Rubber Estates Sdn Bhd - dua keluarga pemilik tanah terkemuka.

Semantan Estate kini dalam penggulungan sukarela dan telah melantik Ernst Young untuk mengendalikan perkara itu.

Bagaimanapun, penggulungan Estet Semantan tidak boleh diselesaikan sehingga pertikaian tanah terbabit diselesaikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!