Lelaki warga emas maut kereta dipandu langgar lori

Keadaan kereta dan lori yang terlibat dalam kemalangan itu. Foto PDRM
Keadaan kereta dan lori yang terlibat dalam kemalangan itu. Foto PDRM
A
A
A

JEMPOL - Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya melanggar sebuah lori di kilometer 12 Jalan Bahau - Keratong pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian lebih kurang jam 10.50 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dengan sebuah lori jenis Nissan.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa lori yang dipandu lelaki berusia 59 tahun dari arah Bahau menuju ke Keratong.

"Setiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa berusia 74 tahun hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar lori terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Chang Hook berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

"Orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol,Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki berusia 47 tahun meninggal dunia selepas dua jam bertarung nyawa akibat kemalangan di kilometer 16 Jalan Bahau - Kemayan di sini pada malam Selasa.

Artikel Berkaitan:

Chang Hook berkata, kejadian jam 10.45 malam itu dipercayai berlaku semasa mangsa yang memandu kereta jenis Honda Civi seorang diri dari arah Triang, Pahang menuju ke Bahau.

"Setiba di lokasi kejadian di kawasan selekoh, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tebing tanah arah bertentangan sebelum terbalik.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta dada dan dibawa ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.35 tengah malam," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746 bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!