Bendera gergasi daripada hos terpakai
SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang memeriahkan bulan kemerdekaan dengan membina bendera gergasi menggunakan hos terpakai.
Ketua BBP Selayang, Zaidi Ahtan berkata, sebanyak 14 hos digunakan untuk menyiapkan bendera sepanjang 30 meter yang dipasang pada menara di balai berkenaan sejak Selasa.
Menurutnya, idea tersebut dicetuskan oleh dua pegawai iaitu Muhammad Faiz Hanafi Jauri dan Mohamad Azizi Kassim sebelum bendera berkenaan dihasilkan dengan bantuan 14 anggota lain daripada Pasukan A.
"Kami kumpulkan hos lama yang sudah mahu dilupuskan dari beberapa BBP sekitar Selangor sebelum projek dimulakan.
"Projek mengambil masa dua minggu yang kami peruntukkan antara satu ke dua jam sehari ketika tiada operasi menyelamat untuk menjayakan projek ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Katanya, bendera seberat 20 kilogram (kg) itu kemudian dipasang menggunakan tali dan kayu diangkat dengan kekuatan 14 anggota.
"Satu kepuasan kepada kami apabila melihat bendera ini kukuh berkibar megah setiap kali ditiup angin.
"Setiap tahun, apabila tiba bulan kemerdekaan, setiap premis dan bangunan akan dihiasi pemasangan bendera.
"Kali ini kami cipta keunikan membina bendera menggunakan hos yang tidak asing dengan kerja hakiki kami memadamkan kebakaran, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!