Azizulhasni mara ke pusingan 16, Shah Firdaus akur ke repechages

Azizulhasni memperagakan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pelumba Jerman dalam saingan 1/32 Sukan Olimpik di Paris pada Rabu. Shah Firdaus akan beraksi dalam saingan repechages. Foto FB MSN.
Azizulhasni memperagakan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pelumba Jerman dalam saingan 1/32 Sukan Olimpik di Paris pada Rabu. Shah Firdaus akan beraksi dalam saingan repechages. Foto FB MSN.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang meneruskan momentum positif apabila mara ke pusingan 16 acara pecut Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi.

Pelumba berusia 36 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan Luca Spiegel dalam saingan 1/32 di Velodrome Saint-Quentin-en-Yvelines.

Dalam awal saingan, pelumba Jerman itu memimpin perlumbaan dengan Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman cuba membuat acahan untuk memintas.

Berbekalkan pengalaman lima kali beraksi pada temasya terbesar dunia itu, Azizulhasni terus membiarkan Spiegel di depan dalam Saingan 10 tersebut.

Namun apabila melepasi selekoh terakhir pelumba yang berasal dari Terengganu itu mula memecut dan kemudian memintas Spiegel di penghujung saingan untuk menamatkan perlumbaan di depan dengan catatan 9.885 saat (s).

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi seorang lagi pelumba negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom yang terpaksa akur tewas kepada Mikhail Yakovlev dari Israel dalam Saingan 3.

Shah Firdaus bagaimanapun akan bersaing dalam aksi repechages untuk mara ke pusingan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!