Suspek culik Albertine Leo akan didakwa atas 15 pertuduhan esok

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Suspek kes culik kanak-kanak perempuan enam tahun Albertine Leo Jia Hui akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kulai pada Khamis.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki berusia 31 tahun itu akan menghadapi 15 pertuduhan selepas dua kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan.

"Suspek akan menghadapi masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 346 Kanun Keseksaan, tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, empat pertuduhan mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, satu pertuduhan mengikut Seksyen 10 akta sama dan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pada Isnin, suspek kes culik kanak-kanak perempuan enam tahun Albertine Leo Jia Hui direman enam hari lagi, bermula hari ini sehingga 10 Ogos.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berumur 31 tahun dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi di Mahkamah Majisteret Kulai di sini selepas membenarkan permohonan polis.

Perintah reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan Sekayen 292 Kanun Kesekaan kerana memiliki bahan lucah.

Pada Ahad, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, suspek yang ditahan sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan polis, sebelum ditahan semula semalam, susulan penemuan bahan pornografi dan peralatan seks di kediamannya di Kulai.

Pada 23 Julai lalu, suspek ditahan bersama mangsa kira-kira jam 4.45 pagi di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

Suspek kemudian ditahan reman selama tujuh hari sebelum disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan mengikut 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Artikel Berkaitan:

Empat suspek lain berusia antara 28 hingga 56 tahun yang ditahan sebelum ini bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!