Azizulhasni mara, Shah Firdaus kandas
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang meneruskan pecutan padu apabila mara ke pusingan 1/8 dalam acara pecut individu pada Sukan Olimpik 2024 sebentar tadi.
Pelumba berusia 36 tahun itu berjaya mengatasi cabaran Hamish Turnbull dari Great Britain dalam saingan 1/16 di Velodrome Saint-Quentin-en-Yvelines, Paris.
Saingan seterusnya dijadualkan berlangsung pada jam 1.30 pagi nanti.
Pencapaian tersebut menyaksikan Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman kian hampir mengulangi rekod layak ke suku akhir pada temasya edisi 2020 di Tokyo tiga tahun lalu.
Dalam aksi tersebut, pelumba yang berasal dari Terengganu itu mendahului sejak awal saingan untuk meninggalkan lawan di belakang.
Biarpun Turnbull cuba memintas pada selekoh terakhir, namun Azizulhasni konsisten dengan kayuhan bertenaganya untuk menamatkan saingan dengan catatan masa 9.866 saat.
Dalam pada itu, rakan senegara, Mohd Shah Firdaus Sahrom gagal ke pusingan 1/16 setelah tewas dalam repechange.
Pelumba berusia 28 tahun itu menamatkan saringan ketiga repechange di tempat kedua di belakang Vasilijus Lendel dari Lithuania dengan hanya pemenang mara ke pusingan berikutnya.
Shah Firdaus masih berpeluang mengintai podium dalam acara keirin yang dijadual bermula pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!