Tumpu ekonomi domestik kurangkan risiko kemelesetan ekonomi

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Ahmed Razman)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Ahmed Razman)
A
A
A

PUTRAJAYA - Pakar ekonomi menggariskan beberapa tumpuan berterusan yang perlu dilaksana kerajaan sebagai langkah mengurangkan risiko kemelesetan disebabkan oleh ketegangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan perlu mempelbagaikan pasaran di serata dunia berbanding kebergantungan eksport kepada AS dan China, selain memperkasakan ekonomi domestik.

“Penerokaan ekonomi baharu seperti sektor ekonomi digital harus dipergiat. Malaysia perlu menyesuaikan dasar fiskal dan monetari untuk menghadapi potensi kemelesetan ekonomi.

“Dasar fiskal dan monetari harus keluar dari kebiasaan dengan beralih kepada sistem ekonomi ekuiti dan bukannya sistem ekonomi hutang seperti sekarang.

“Di samping itu, negara perlu meneroka alternatif kepada pembiayaan yang tidak melibatkan institusi kewangan bagi mengurangkan tahap keberhutangan kerajaan dan juga isi rumah,” jelasnya.

Menurut Ahmed Razman, ketegangan ekonomi AS dan China turut memberi kesan positif dan negatif terhadap ekonomi negara.

“Perang tarif yang berlaku antara dua negara tersebut sebenarnya memberi peluang kepada Malaysia untuk memenuhi permintaan barangan kedua-dua negara tersebut yang tidak mahu berdagang secara langsung.

“Pada masa sama, situasi ekonomi di kedua-dua negara boleh menyebabkan impak kepada negara kita melalui pergerakan mata wang negara kita dan juga keputusan menetapkan kadar faedah (OPR),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmed Razman berkata, lima sektor yang berisiko terjejas akibat kemelesetan ekonomi kedua-dua negara berkenaan.

“Ia membabitkan sektor pelancongan, pembuatan, pembinaan dan logistik serta komoditi,” ujarnya.Selain itu, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, telah mencetuskan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi negara berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!