Olimpik Paris: Dhabitah elak mental koyak
PENERJUN berpengalaman negara, Nur Dhabitah Sabri mempersiapkan mentalnya bagi menghadapi pusingan separuh akhir acara 3 meter papan anjal Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung hari ini (4 petang waktu Malaysia).
Dhabitah perlu menamatkan cabaran di kedudukan 10 terbaik bagi meneruskan saingan di pentas final yang dijadualkan berlangsung di Pusat Akuatik Paris pada jam 9 malam esok
"Saya perlu tenangkan diri dan kuatkan mental. Kadang-kadang badan tak ikut arahan seperti yang saya fikirkan, menyebabkan ada terjunan kurang menjadi.
"Untuk itu saya perlu lebih relaks dan fokus setiap terjunan di separuh akhir nanti," katanya.
Atlet berusia 25 tahun itu bermula cemerlang pada dua terjunan pertama apabila menduduki tempat kedua sebelum prestasinya merosot pada terjunan ketiga dan keempat masing-masing mencatatkan 54.00 dan 48.00.
Dhabitah memperkemaskan terjunan kelimanya dan menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-12 dengan mengutip keseluruhan 283.65 mata.
Hanya 18 penerjun terbaik layak ke pusingan separuh.
Penerjun China, Chen Yiwen mengungguli pusingan kelayakan dengan 356.40 mata diikuti Kenny Maddison dari Australia di tempat kedua dengan 337.35 mata dan Vazquez Montana dari Mexico ketiga selepas mengumpul 321.74 mata.
Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Dhabitah selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Dhabitah - pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022, menamatkan saingan di tempat keempat pada aksi final Tokyo 2020 selepas mengutip 326.15 mata.
Bagaimanapun, dia dibelenggu masalah kecederaan sejak beberapa musim lalu.
Dhabitah mengalami kecederaan pergelangan tangan yang memaksanya menarik diri dalam acara 10m platform seirama di Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lalu.
Dia kemudian mengalami kecederaan lengan (tricep) yang menjejaskan prestasinya di Kejohanan Dunia di Doha, Qatar tahun ini, malah mengalami demam ketika beraksi di Terbuka Australia pada bulan lalu.
Dhabitah masih belum mencatat 300 mata dalam pertandingan disertai tahun ini.
Sebagai rekod, Dhabitah tampil di Olimpik Paris selepas diberikan slot tambahan daripada pihak Akuatik Dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!