Perjuangan Azizulhasni dalam acara pecut berakhir, fokus keirin

Azizulhasni akan fokus ke acara keirin selepas menamatkan acara pecut di pusingan 1/8. Foto Bernama
Azizulhasni akan fokus ke acara keirin selepas menamatkan acara pecut di pusingan 1/8. Foto Bernama
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menamatkan saingan acara pecut Sukan Olimpik Paris 2024 pada pusingan 1/8 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.

Beliau tidak layak ke suku akhir selepas menduduki tempat ketiga pusingan repechages 1/8, ketinggalan 0.190s di belakang Mateusz Rudyk dari Poland yang mencatatkan 9.966 saat, manakala Mikhail Yakovlev dari Israel (+0.0543) kedua.

Hanya pemenang saringan kedua akan mara ke suku akhir.

Terdahulu, The Pocket Rocketman terpaksa beraksi dalam repechage selepas tewas kepada Jeffrey Hoogland (9.772s) dari Belanda dengan ketinggalan +0.037s pada saringan 6 pusingan 1/8.

Mohd Azizulhasni memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 9.402s untuk menduduki tempat ke-10 pusingan kelayakan, mengatasi rekod 9.523s dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai tahun lepas.

Bercakap kepada Bernama selepas perlumbaan, pemenang pingat perak acara keirin Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan permulaan kempen kali ini selepas berjaya mencapai catatan masa dimahukan pada pusingan kelayakan.

"Perancangan awal kita adalah untuk berlumba satu demi satu pusingan. Saya gembira dapat kalahkan Luca Spiegel dari Jerman dan Hamish Turnbull dari Great Britain.

"Perancangannya untuk kalahkan Hoogland tapi sebaliknya. Ia merupakan satu perlumbaan yang hebat dari segi teknikal dan taktikalnya cuma saya tidak cukup laju.

Artikel Berkaitan:

"Ketika pusingan repechage, John Beasley berkata, simpan tenaga untuk keirin. Jika ke pusingan repechage akan berdepan dengan pelumba-pelumba hebat seperti Harrie Lavreysen (Belanda) di suku akhir dan saya membazir tenaga. Saya akan simpan tenaga untuk perlumbaan seterusnya pada 8 malam esok.

Terdahulu, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak mara ke pusingan 1/16 selepas menghadapi cabaran sukar daripada Yakolev di pusingan 1/32 acara berkenaan.

Muhammad Shah kemudian turut gagal menebus kekecewaan di pusingan repechage 1/32 apabila sekadar menduduki tempat kedua dalam saringan ketiga dibelakang pelumba Lithuania Vasilijus Lendel mara ke pusingan 1/16.

Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus seterusnya akan turun beraksi dalam acara utama, keirin bermula Sabtu ini, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan beraksi dalam acara pecut wanita bermula Jumaat.-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!