NRES perlu lihat peraturan mohon kelulusan EIA di Gua Musang

Mohd Shahbuddin
Mohd Shahbuddin
A
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Perubahan Iklim perlu melihat semula peraturan dan tata kelola permohonan kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) membabitkan pembangunan tanah di Gua Musang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Shahbuddin Hashim mendakwa permohonan kelulusan EIA tidak pernah sampai kepada pengetahuan rakyat kerana tidak dipamer untuk disemak intipatinya.

Beliau berkata, permohonan itu hanya paparan di laman web Jabatan Alam Sekitar mengenai tajuk dan penggerak projek sahaja.

"Ia dilihat tidak memberi kesan kepada rakyat yang menjadi pemegang taruh kepada isu sekali gus membawa kepada kemusnahan alam," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, kerajaan negeri menjadi kuasa penting dalam penerokaan tanah kerana setiap permohonan EIA wajib mempunyai kelulusan tanah daripada pihak pentadbirnya.

Mohd Shahbuddin turut mempersoalkan keluasan kelulusan hutan simpan kekal oleh kerajaan yang dikelaskan sebagai hutan perlindungan dalam DUN Nenggiri.

"Manipulasi mengenai istilah Projek Ladang Hutan, Projek Tanam Semula Getah Klon di kawasan Hutan Simpan Kekal ini bukan sukar untuk difahami oleh rakyat Gua Musang," katanya.

Beliau turut mendakwa, sebagai ADUN juga tidak pernah diberikan maklumat oleh mengenai projek hutan simpan kekal itu untuk disuarakan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shahbuddin yang juga wakil rakyat Barisan Nasional mempersoalkan mengenai pemilihan sebuah syarikat yang didakwa masih baharu diterima untuk pelaksanaan penerokaan hutan untuk pembangunan perladangan.

"Sebelum ini saya menyatakan dengan jelas mengenai sebuah syarikat yang diwujudkan tidak sampai setahun menerima sebuah projek Perladangan Hutan di Hutan Simpan Kekal Perias.

"Saya rasa tapisan untuk rakyat memohon geran tanah lebih ketat daripada itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!