Insentif pemenang pingat emas Sukma dinaikkan - Wan Rosdy
KERAJAAN Pahang bersetuju untuk meningkatkan kadar insentif bagi pemenang pingat emas atlet negeri itu yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
Menurutnya, peningkatan kadar insentif ini sebagai menghargai komitmen, usaha gigih para atlet yang bersungguh-sungguh berlatih dan berkorban untuk meningkatkan imej Pahang, selain memajukan bidang sukan di negeri ini.
"Melalui insentif ini, setiap pemenang pingat emas atlet individu akan menerima insentif RM6,000, berbanding RM4,000 sebelum ini.
"Bagi, setiap pemenang pingat emas atlet berkumpulan akan menerima insentif RM2,000 setiap seorang, berbanding RM1,000 sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berharap para atlet Sukma Pahang dapat mempamerkan semangat kesukanan tinggi dalam mengharungi saingan SUKMA Ke-21 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Jelasnya, mereka juga perlu mempunyai keazaman dan kecekalan terutamanya dalam memburu pingat emas.
"Selamat berjuang kepada semua atlet Sukma Pahang dan jadilah inspirasi kepada generasi muda negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!