Pekerja warga Bangladesh didakwa miliki rokok seludup

Tertuduh diiringi keluar selepas selesai sebutan kesnya dalam Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Tertuduh diiringi keluar selepas selesai sebutan kesnya dalam Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan memiliki barangan larangan import berupa 890 peket rokok seludup dianggarkan bernilai RM1,424 pada 25 Julai lalu.

Tertuduh, Md Alim Hossain Bappi, 42 mengaku bersalah atas tuduhan itu di hadapan Majistret Tengku Eliana Tengku Kamaruzaman.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes tersebut dengan kehadiran juru bahasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Nurhafizah Ahmad, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di asrama pekerja kawasan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP),Jalan Pintasan Gebeng, kira-kira jam 11.30 pagi, 25 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000.

Tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia terpaksa menyara keluarga termasuk ibu, isteri dan anak di negara asal.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan rayuan tertuduh apabila mengurangkan jumlah jaminan kepada RM5,000 dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat kastam setiap bulan sehingga kes selesai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!