Setuju potong elaun ahli Parlimen ponteng - Iskandar Dzulkarnain

Iskandar Dzulkarnain (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Clifford pada Khamis.
Iskandar Dzulkarnain (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Clifford pada Khamis.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Tindakan memotong elaun ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat untuk tempoh tertentu seperti diperuntukkan dalam Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) selepas dikuatkuasakan disifatkan sebagai wajar.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, ia sekali gus dapat mendisiplinkan ahli Parlimen yang tidak hadir tanpa alasan munasabah dalam persidangan Parlimen.

"Ya saya setuju potong elaun. Sebagai wakil rakyat bila sidang Parlimen kita perlulah hadir tetapi jika ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti sakit dan sebagainya tak apalah.

"Tapi kalau tak ada apa kecemasan kita wajib hadir. Hukuman potong elaun satu langkah yang bijak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Rabu memaklumkan bahawa ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat untuk tempoh tertentu berisiko kehilangan elaun sebaik PSA berkuat kuasa.

Menurut Johari, kehadiran Ahli Parlimen jelas dinyatakan dalam undang-undang dan mereka yang tidak hadir selama enam bulan berturut-turut tanpa alasan sah mungkin kehilangan kerusi mereka.

Bagaimanapun, jelasnya, setakat ini tiada ahli Parlimen yang kehilangan kerusi mereka atas sebab berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Iskandar yang juga bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan kesediaan untuk membantu kempen calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini saya belum terima jemputan untuk berkempen membantu mana-mana calon.

"Kalau dapat jemputan untuk berkempen, saya akan turun," ujarnya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang bertanding atas tiket Pas dengan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian dan calon mempunyai 14 hari untuk mengadakan kempen mengikut jentera parti masing-masing.

Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu, namun keahliannya dalam parti digugurkan pada 13 Jun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!