'Arwah minta jahitkan baju kurung'

Fatimah (kiri) dan Erpah (tiga dari kanan) bersama anak-anak.
Fatimah (kiri) dan Erpah (tiga dari kanan) bersama anak-anak.
A
A
A

KUALA SELANGOR - "Seminggu sebelum meninggal dunia, arwah kakak ada hubungi saya memaklumkan dia teringin saya jahitkan baju kurung moden sama seperti yang pernah dipakai arwah mak, namun tak sangka itu permintaan terakhirnya sebelum dia menemui Ilahi," demikian kata Kalshsom Sukim.

Kalshom, 54, merupakan adik kepada Fatimah, 55, yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh jam 7 petang semalam.

Lima jam sebelum itu, suami Fatimah, Erpah Yusuf, 60-an, menghembuskan nafas terakhir di rumah adik iparnya di Kota Damansara jam 2 petang.

Kalshsom berkata, Fatimah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sempat menghubunginya menyatakan hasrat ingin menghantar kain untuk dijahit baju kurung moden seperti yang sering dipakai ibu mereka, Kasinah Kasiman yang meninggal dunia 15 tahun lalu.

"Sehingga kini, masih terngiang-ngiang suara arwah yang ingin menggayakan baju kurung, namun saya terkilan tidak sempat menyiapkan baju dimintanya kerana dia terlebih dahulu menemui Pencipta," katanya.

Menurut Kalshsom, Allahyarham kakaknya disifatkan seorang yang baik hati, bertanggungjawab, peramah dan dikenali jiran tetangga.

Kalshsom (kiri) dan Khuzaimah (dua dari kiri) bersama anak masing-masing menunjukkan gambar arwah Fatimah dan Erpah yang kedua-keduanya meninggal dunia selang lima jam semalam.
Kalshsom (kiri) dan Khuzaimah (dua dari kiri) bersama anak masing-masing menunjukkan gambar arwah Fatimah dan Erpah yang kedua-keduanya meninggal dunia selang lima jam semalam.

"Saya memang rapat dengan arwah dan kami sering berhubung menerusi panggilan telefon," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai kematian kakaknya selepas dihubungi salah seorang anak Fatimah.

“Sukar hendak terima, namun ini semua adalah ketentuan ALLAH kerana lebih menyayanginya dan kita perlu reda dengan takdir yang sudah ditentukan ini,” katanya.

Kalshsom berkata, jenazah pasangan suami isteri itu dibawa ke rumah mereka di Bukit Belimbing di sini selepas bedah siasat di Hospital Sungai Buloh untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang, Kuala Selangor hari ini.

Sementara itu, adik ipar Fatimah, Khuzaimah Che Hussin, 40, meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian suami isteri berkenaan.

"Saya banyak dapat mesej di WhatsApp yang bertanya punca kematian mereka, tapi saya tak sempat nak balas satu persatu.

"Bagaimanapun saya ingin maklumkan kakak ipar mengalami demam panas sahaja dan dirujuk ke Hospital Tanjong Karang sebelum sakit teruk hingga terpaksa dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Begitu juga dengan arwah suami Fatimah, saya nampak kesihatannya semakin uzur sejak kebelakangan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!