Langgar lampu isyarat merah, dua motosikal bertembung

Video tular memaparkan insiden kemalangan dua motosikal di Jalan Greenwood-Batu Caves, di sini, pada Rabu.
Video tular memaparkan insiden kemalangan dua motosikal di Jalan Greenwood-Batu Caves, di sini, pada Rabu.
A
A
A

GOMBAK - Tindakan seorang lelaki melanggar lampu isyarat merah mengundang padah apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Greenwood-Batu Caves, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian pada jam 8 pagi itu membabitkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang remaja berusia 19 tahun dan sebuah Yamaha Lagenda.

"Dalam kejadian itu, motosikal jenis Lagenda yang ditunggang lelaki tempatan berusia 53 tahun dari arah Greenwood menuju ke Selayang.

"Setibanya di persimpangan lampu isyarat, lelaki itu tidak berhenti di lampu isyarat merah lalu bertembung dengan motosikal Y15ZR ditunggang remaja terbabit yang sedang membelok dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noor Ariffin berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Sebarang maklumat berkaitan juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Rumuna Desa di talian 0163566289 atau Bilik Gerakan Daerah Gombak 0361262222," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!