Elak campur sisa pepejal dengan e-waste dalam tong sampah

Gambar tangkapan layar video tular menunjukkan salah seorang pekerja pembersihan turun daripada platform lori selepas dikatakan terkena letupan kecil. (Gambar kecil: Sharudin)
Gambar tangkapan layar video tular menunjukkan salah seorang pekerja pembersihan turun daripada platform lori selepas dikatakan terkena letupan kecil. (Gambar kecil: Sharudin)
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai disaran mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan daripada kediaman mengikut komposisi sisa termasuk kitar semula dan e-waste bagi mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, saranan itu dibuat susulan terdapat seorang pekerja pembersihan di sebuah daerah, mengalami kecederaan akibat terkena letupan kecil dipercayai daripada bank kuasa.

Menurutnya, insiden berlaku ketika pekerja terbabit sedang melakukan kerja-kerja pengutipan sisa domestik di sebuah kediaman.

"Kami SWCorp mohon agar penduduk mengasingkan sisa-sisa selain domestik ini untuk diluluskan secara sistematik.

"Kalau boleh sisa kitar semula dan e-waste, jangan campur supaya tiada perkara tidak diingini akan berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, tular satu rakaman video 55 saat di laman sosial Facebook yang memaparkan dua pekerja pembersihan bertungkus lumus memasukan sampah ke dalam lori.

Selepas kutipan, dua pekerja pembersihan naik semula ke platform belakang lori tersebut untuk pergi ke tong seterusnya, namun secara tiba-tiba terdapat letupan kecil dipercayai dari power bank dan serpihannya terpelanting lalu terkena kepada salah seorang pekerja.

Mangsa yang terkena terus turun daripada platform lori terbabit dan duduk sebelum dilihat membuka topeng muka.

Artikel Berkaitan:

Kelihatan asap terkeluar daripada lori sampah terbabit.

Video tersebut mendapat 41,00o tonton, dan 156 berkongsi daripada warga maya.

Pelbagai komen ditinggalkan pengguna laman sosial itu antaranya barang elektronik seperti bateri atau bank kuasa, telefon perlu diasingkan bukan campak terus dalam tong sampah.

Mereka juga mendakwa barangan tersebut boleh menjadi punca kebakaran besar sekiranya ia meletup di tapak pelupusan.

Menjawab mengenai kecederaan dialami pekerja pembersihan itu, Sharudin memberitahu, pekerja terbabit mengalami kecederaan pada bahagian mata dan mulut.

"Dia sudah menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mahu orang ramai lebih peka dan mempunyai kesedaran serta melakukan pengasingan sisa e-waste dengan sebaiknya.

Katanya, sisa ini penting untuk diasingkan dan ia dilupus di pusat kitar semula e-waste di bawah JAS (Jabatan Alam Sekitar), jadi seeloknya buang di tempat yang betul.

"Kita tidak mahu ada kejadian seperti ini pada masa akan datang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!