Ara Johari sedia lebar sayap
JIKA ditanya perkara paling sukar yang dilalui oleh seseorang selebriti, jawapannya bukan berdepan kontroversi, sebaliknya untuk kekal relevan dalam industri seni.
Bahkan tidak kira di luar negara sekali pun, bukan mudah buat seseorang pelakon, pengacara mahupun penyanyi itu untuk terus kekal relevan dalam industri, sementelah kehadiran bakat baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Justeru, penting untuk anak seni mengatur perjalanan kariernya, bukan hanya sekadar untuk kekal relevan tetapi juga tidak selamanya berada di zon selesa atau takuk lama.
Begitu jugalah yang dirasai oleh penyanyi berbakat besar, Ara Johari apabila berasakan sudah tiba masanya untuk melebarkan sayap ke negara seberang.
“Saya kira kerjasama saya dengan komposer dari Indonesia seperti sambil menyelam minum air.
"Bukan sahaja menimba pengalaman bekerja dengan komposer luar, malah menjadi platform buat saya kembangkan sayap di sana.
“Lagipun sebagai penyanyi, saya tidak mahu sentiasa berada di takuk lama. Semoga perancangan saya ini dipermudahkan,“ katanya.
Ara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya.
Istimewanya, lagu tersebut merupakan ciptaan komposer seberang, Ilham Baso yang sebelum ini pernah menyumbang karya- karyanya kepada penyanyi 'papan atas' Indonesia seperti Judika (Bukan Dia Tapi Aku) dan banyak lagi.
Lebih istimewa, gubahan muzik lagu itu mendapat sentuhan daripada penggubah muzik terkenal Indonesia Adrian Rahmat Purwanto, manakala proses rakaman dilakukan di Bro‘s Studio di Jakarta di bawah bimbingan vokal stail Bowo Soulmate.
Tambah wanita berusia 27 tahun itu lagi, dia sudah lama menyimpan angan untuk berduet dengan penyanyi kegemarannya iaitu Mahalini dan Judika.
Namun, setakat ini masih belum merangka rancangan mahupun ‘melamar‘ artis idamannya untuk bekerjasama.
“Tipulah kalau saya tidak pernah terfikir untuk berduet dengan artis dari seberang terutamanya Mahalini dan Judika tetapi perancangan itu belum ada setakat ini.
“Apa pun saya bertuah dapat bekerja dengan pemuzik-pemuzik handal Indonesia. Ia merupakan satu pengalaman baharu dalam karier seni saya.
"Mereka banyak bekerja dengan nama besar seperti Mahalini, Lyodra dan Keisya Levronka,“ ujarnya yang kini merancang untuk tampil dengan album dan showcase kedua.
Menjaga Jodoh Orang Lain kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman.
Gangguan
Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai lagu terbaharunya itu, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu mengakui Menjaga Jodoh Orang Lain terkait dengan kisah percintaannya sebelum ini.
Biarpun perit, Ara berkata,dia tidak mahu terburu-buru mencari pengganti dan perkara pertama yang ingin dielak adalah menjadi orang ketiga.
“Walaupun sebelum ini saya tampil dengan imej yang kasar dan berambut pendek tetap ada gangguan atau mesej peribadi yang diterima daripada lelaki. Ada juga mesej yang tidak senonoh.
“Cuma saya tak pasti sama ada di antara yang menghantar mesej tersebut suami orang atau tidak, tetapi saya memang elak berkawan dengan suami orang,“ jelasnya.
Bagaimanapun, pada masa sama, naib juara Anugerah Juara Lagu 33 menerusi lagu Bunga itu tetap berhati-hati dengan kaum Adam selepas insiden tangannya dicium oleh seorang lelaki setelah selesai membuat persembahan di Nilai tahun lalu.
Ujar Ara, dia kini lebih berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling, lebih-lebih lagi apabila didekati oleh peminat atau individu tidak dikenali.
“Sebenarnya ramai saja artis wanita lain yang mungkin terkena macam saya, pernah dapat mesej tak senonoh, sebab itu saya kini sangat berhati-hati apabila membuat perkongsian di media sosial.
“Kalau nak buat hantaran di media sosial, saya elakkan memberi maklumat terperinci seperti acara disertai, lokasinya dan masa berlangsung,“ ujarnya yang kini lebih mengutamakan keselamatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!