Kerajaan belanja RM10.49 bilion untuk infrastruktur luar bandar sejak 2020 - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid. Foto Bernama
Ahmad Zahid. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah melabur sebanyak RM10.49 bilion untuk membangunkan infrastruktur luar bandar, termasuk jalan raya, bekalan elektrik, air, dan kemudahan sosial, di kampung Orang Asli dan kawasan pendalaman dari 2020 hingga Jun tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaburan yang besar ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kemajuan komuniti luar bandar.

"Infrastruktur yang berkualiti tinggi dapat menarik pelaburan, menjana peluang pekerjaan, dan menggalakkan amalan pertanian mampan.

"Dengan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar, kita meletakkan asas bagi pertumbuhan inklusif dan pengurangan kemiskinan," katanya dalam ucapan perasmian Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Ahmad Zahid berkata, beliau menyedari kepentingan pembangunan infrastruktur luar bandar untuk memajukan sosioekonomi sesebuah negara.

Beliau berkata, infrastruktur berkualiti tinggi, termasuk jalan raya, jambatan, kemudahan penjagaan kesihatan, sekolah dan ketersambungan digital, semuanya asas kepada pembangunan luar bandar yang berkesan.

"Infrastruktur yang lebih baik memudahkan akses kepada pasaran, membolehkan petani menjual produk mereka dengan lebih cekap dan mendapatkan harga yang lebih baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Penjagaan kesihatan dan kemudahan pendidikan yang dipertingkatkan meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan migrasi dari luar bandar ke bandar, dan membolehkan penduduk luar bandar menyumbang dengan lebih berkesan kepada ekonomi," katanya.

Ahmad Zahid berkata, bahawa adalah penting untuk memanfaatkan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi membawa perubahan besar terhadap ekonomi luar bandar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!