'Perisai' kanak-kanak, wanita halang struktur tambahan haram diroboh

Situasi tegang sewaktu operasi perobohan dijalankan pada Rabu.
Situasi tegang sewaktu operasi perobohan dijalankan pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Operasi perobohan struktur didirikan atas tanah kerajaan tanpa kebenaran di Lot 51531 Taman Sri Sinar oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) pada Rabu ditangguhkan.

PPTGWP dalam satu kenyataan berkata, berlaku situasi tegang akibat provokasi oleh pihak tidak dikenali ketika operasi itu dijalankan.

"Pihak terbabit membuat perisai manusia menggunakan kanak-kanak dan wanita serta halangan kenderaan di lokasi hingga menimbulkan suasana tidak selamat di lapangan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Susulan itu menurut PPTGWP, operasi perobohan dewan berkenaan ditangguhkan bagi meredakan suasana serta memberi tempoh masa kepada pihak penceroboh untuk pengosongan dan memindahkan peralatan.

Notis pengosongan dikeluarkan oleh PPTGWP susulan pencerobohan atas tanah kerajaan.
Notis pengosongan dikeluarkan oleh PPTGWP susulan pencerobohan atas tanah kerajaan.

"Selain itu, pihak penceroboh juga telah meminta untuk diberikan masa untuk mengeluarkan barangan gimnasium.

"Mereka juga telah menandatangani aku janji untuk mengosongkan tapak dan tidak membuat sebarang aktiviti di tapak tersebut untuk tempoh 30 hari," katanya.

Katanya, penguatkuasaan dijalankan susulan pencerobohan atas tanah kerajaan dan struktur dibina tanpa kebenaran sah.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebelum ini, PPTGWP telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Pengosongan Tapak pada 4 Julai 2024 kepada penceroboh iaitu pengusaha gimnasium dan seni pertahanan diri untuk berbuat demikian.

Operasi perobohan yang dijalankan pada Rabu ditangguhkan atas faktor keselamatan.
Operasi perobohan yang dijalankan pada Rabu ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Susulan keputusan penangguhan itu, operasi penguatkuasaan akan disambung semula selepas 6 September 2024 dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti dijalankan dalam tempoh penangguhan.

"Pencerobohan ke atas tanah kerajaan yang telah dirizab sebagai kawasan lapang itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara iaitu menduduki tanah Kerajaan tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa negeri.

"Penceroboh boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Pada Rabu, operasi penguatkuasaan itu turut melibatkan kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Air Selangor.

Untuk rekod, PPTGWP telah melipatgandakan usaha membanteras pencerobohan tanah kerajaan dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan sejak tiga tiga tahun lalu.

Operasi itu merupakan usaha berterusan untuk memastikan kedaulatan dan kelestarian tanah kerajaan serta menegakkan undang-undang berkaitan dengan penggunaan tanah secara sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!