Tiada kesan dadah dalam badan pelajar hisap vape 'magic mushrooms'

Laporan Sinar Harian (Mohd Khairi)
Laporan Sinar Harian (Mohd Khairi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis mengesahkan tiada kesan dadah ditemui dalam sampel darah yang diambil daripada pelajar Tingkatan Empat dari sebuah sekolah menengah di Kemaman yang dilaporkan tidak sedarkan diri dipercayai menghisap rokok elektronik atau vape mengandungi 'magic mushrooms' pada 22 Julai lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Kharudin berkata, ia berdasarkan laporan diterima daripada Jabatan Kimia dua hari lepas.

"Saya sudah terima laporan daripada Jabatan Kimia dan mendapati keputusannya adalah negatif.

"Ini bermaksud tidak ada kesan dadah dalam tubuh pelajar tersebut sekali gus tidak ada kes yang boleh disabitkan kesalahan," katanya

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Terengganu di perkarangan Wisma Persekutuan dekat sini pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang pelajar Tingkatan Empat dikejarkan ke hospital di daerah ini selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dipercayai selepas mengambil rokok elektronik atau vape jenis 'magic mushrooms'.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila mangsa dikatakan rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri ketika berada di sekolah, minggu lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi menyatakan pelajar terbabit dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini masih dirawat di hospital.

"Bagaimanapun ada kalanya dia diserang sawan dan pihak hospital sedang menyiasat punca tiba-tiba pelajar berkenaan menghidap penyakit itu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Khairi menyatakan pihaknya akan meningkatkan pemantauan di kedai rokok elektronik bagi membanteras penjualan vape jenis 'magic mushroom'.

"Walaupun rampasan dan tangkapan berkaitan kes itu masih kecil dan melibatkan kes terpencil, namun kita memandang serius isu itu selain meningkatan pemeriksaan tentang penjualan vape di kedai rokok elektronik," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!