Dua lori tangki muatan diesel untuk pasaran gelap dirampas

Saharuddin (depan) melihat lori yang disita.
Saharuddin (depan) melihat lori yang disita.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cubaan dua lelaki memindahkan minyak diesel ke sebuah lori tangki lain untuk dijual semula kepada pembeli dalam pasaran gelap gagal apabila ditahan menerusi serbuan dijalankan di kawasan perindustrian Chukai, Kemaman pada Rabu lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya merampas dua buah lori tangki dengan muatan diesel anggaran 8,190 liter dalam serbuan dijalankan sekitar jam 12.30 tengah hari itu.

Menurutnya, serbuan sekitar jam 12.30 tengah hari itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Terengganu bersama lapan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil risikan selama seminggu.

"Hasil maklumat awal mendapati modus operandi sindiket itu adalah diesel yang diambil dari depo dari Kerteh telah dihantar oleh sebuah lori tangki ke sebuah syarikat yang mempunyai permit barang kawalan.

"Bagaimanapun, minyak tersebut tidak dipindahkan sepenuhnya dan baki diesel itu kemudian dipindahkan ke sebuah lori tangki lain untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap.

Dua buah lori tangki dengan muatan minyak diesel anggaran 8,190 liter disita.
Dua buah lori tangki dengan muatan minyak diesel anggaran 8,190 liter disita.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kesemua lori tersebut tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak diesel," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar Rampasan Minyak Diesel Menerusi Ops Tiris 3.0 di Kawasan Perindustrian Chendering di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Saharuddin berkata, semasa serbuan dijalankan mendapati proses pemindahan minyak diesel dari sebuah lori tangki ke sebuah lori tangki yang lain sedang dilakukan dengan menggunakan paip saluran getah.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM286,781.30.

Susulan itu, beliau berkata, dua lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an telah ditahan bagi membantu siasatan.

Tambah Saharuddin, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jadi kita ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

"Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras," ujarnya.

Saharuddin berkata, pihaknya juga sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram tersebutdapat dibendung daripada terus berleluasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!