Pelarasan gaji kakitangan UiTM beri implikasi kewangan besar - Shahrin

Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Universiti Teknologi Mara (UiTM).
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjangka pelarasan gaji seramai 19,000 kakitangannya termasuk berstatus kontrak swasta yang layak menerimanya membabitkan implikasi kewangan lebih besar.

Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, pada masa ini beliau tidak boleh mendedahkan jumlahnya yang sebenar, namun ia jauh lebih tinggi berbanding universiti awam lain di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, UiTM akan menyediakan modul kewangannya bagi memastikan tindakan pelarasan gaji dilaksanakan selaras keputusan kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

"Kita (UiTM) mempunyai kampus di seluruh negara daripada pelbagai gred perjawatan contohnya dari serendah pekerja ladang sehingga pegawai gred tertinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam dan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) di Bilik Persidangan 1, Aras 2 di sini pada Khamis.

Shahrin (duduk tiga dari kiri) bergambar pada Majlis MoU Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam dan Prihatin di Bilik Persidangan 1, Aras 2 di sini pada Khamis.
Shahrin (duduk tiga dari kiri) bergambar pada Majlis MoU Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam dan Prihatin di Bilik Persidangan 1, Aras 2 di sini pada Khamis.

Shahrin berkata, antara kumpulan kakitangan itu termasuklah perkeranian, kumpulan pelaksana, pegawai, pensyarah termasuk perkhidmatan di peringkat hospital.

"Contohnya kalau di hospital, kita juga mempunyai gred penjawatan seperti mana hospital kerajaan lain," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, pada masa ini, sebanyak RM430 juta hingga RM600 juta hasil daripada penjanaan universiti itu bagi menampung kos perbelanjaan selain bantuan kewangan daripada kerajaan.

Katanya, kira-kira RM40 juta telah dibelanjakan UiTM bagi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua kakitangannya termasuk lantikan kontrak.

"Bayaran ini telah dibuat secara one off (sekali gus) sama dengan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pihak JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam)," tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan, penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana dijangka menikmati kenaikan gaji melalui SSPA sehingga 42.7 peratus.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun menjelaskan gambaran secara umum peningkatan gaji penjawat awam itu boleh diketahui bermula minggu depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!