Projek Shah Alam Sentral dilancar bulan depan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Sambutan 60 Tahun PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Sambutan 60 Tahun PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM – Projek pembinaan Shah Alam Sentral (SA Sentral) milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini, bakal dilancarkan secara rasmi bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, SA Sentral menjadi projek ikonik pihaknya yang bercirikan bandar bebas karbon, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, pembangunan semula kawasan pusat bandar yang menelan kos RM2 bilion itu meliputi Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), SACC Mall, Plaza Alam Sentral dan Plaza Perangsang.

"Projek berskala besar itu telah dimulakan dengan proses membaik pulih SACC termasuk parkir di kawasan berkenaan.

"PKNS ketika ini memfokuskan pembinaan kediaman termasuk kondominium berhadapan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di stesen terakhir Dato' Menteri.

"Projek peremajaan pusat bandar Seksyen 14 itu dilancarkan bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh lapan hingga 10 tahun," katanya ketika sidang akhbar pada Forum Peluang Hartanah Selangor Pembuktian Masa Depan di Pusat Konvensyen SACC pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Program bersempena sambutan ulang tahun ke-60 PKNS yang disertai 300 tetamu daripada pelbagai sektor itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Artikel Berkaitan:

SA Sentral yang bakal menjadi daerah pusat perniagaan (CBD) di atas tanah seluas 64.7 hektar itu turut akan menampilkan pembangunan komersial, pejabat, taman rekreasi, perpustakaan perniagaan dan pusat pameran antarabangsa.

Projek itu juga meliputi pembinaan The Spine yang menghubungkan Kompleks PKNS, SACC dan semua kawasan pembangunan tersebut.

Menurut Mahmud, projek itu setakat ini dijangka hanya melibatkan perobohan SACC Mall bermula hujung 2026 atau awal 2027 kelak.

"Berdasarkan perancangan awal, pusat beli belah itu akan dirobohkan bagi pembinaan sebuah pusat pameran bertaraf antarabangsa.

"Lebih 100 peniaga SACC Mall sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka akan dipindahkan ke Plaza Alam Sentral atau pusat beli belah Datum Jelatek," ujarnya.

Beliau mengakui perniagaan di pusat membeli-belah ini tidak membawa keuntungan selepas wabak Covid-19 kerana peniaga telah berubah kepada perniagaan secara atas talian.

Tambah beliau, PKNS sebagai sebuah konglomerat besar turut akan menerokai bidang perniagaan baharu selepas usia kepimpinannya kini berusia enam dekad.

"Ia antaranya meliputi sektor berbeza termasuk tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa, penjagaan kesihatan, hospitaliti dan teknologi.

"Kami komited menyelaraskan amalan terbaik industri dengan meneruskan peranan sebagai sebuah agensi kerajaan Selangor dan rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!