'Cukuplah insiden Sungai Kim Kim jadi pengajaran' - Dr Zaliha

Laporan eksklusif Sinar Harian pada Selasa lalu. (Dr Zaliha)
Laporan eksklusif Sinar Harian pada Selasa lalu. (Dr Zaliha)
A
A
A

SHAH ALAM - "Cukuplah insiden pencemaran Sungai Kim Kim pada tahun 2019 sebagai pengajaran yang besar buat kita," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata demikian susulan laporan pendedahan Sinar Harian mengenai pengoperasian kilang proses sampah elektronik (e-waste) yang dipercayai beroperasi secara haram di Segamat, Johor.

Zaliha yang juga merangkap Ahli Parlimen Sekijang berkata, insiden Sungai Kim Kim menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk kerja pemulihan dan kira-kira 6,000 orang penduduk terkesan dari kejadian tersebut.

"Oleh itu, saya menyeru pihak berkuasa, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan tegas dan segera dalam menangani isu ini.

"Kami berharap agar siasatan yang menyeluruh dijalankan terhadap semua kilang e-waste di Kawasan Pendustrian Segamat 2 bagi memastikan semua operasi mematuhi peraturan dan undang-undang alam sekitar yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Zaliha, beliau memandang serius tentang isu pencemaran udara yang dilaporkan berpunca dari kilang e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat 2 sebagaimana yang dilaporkan oleh pelbagai platform media baru-baru ini.

Jelasnya, beberapa laporan turut menyatakan bahawa terdapat kilang e-waste yang beroperasi secara haram di kawasan ini seperti mana dilaporkan di dalam akhbar Sinar Harian pada 6 Ogos lalu.

"Pejabat Parlimen dan Pusat Khidmat sendiri telah menerima banyak aduan daripada penduduk setempat mengenai pencemaran udara yang semakin memburuk.

Artikel Berkaitan:

"Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kualiti alam sekitar bahkan juga memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk," ujarnya.

Kata beliau, walaupun pembangunan ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan adalah antara perkara yang menjadi agenda utamanya, namun ini tidak bermakna kita harus berkompromi terhadap kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan berita eksklusif mengenai aktiviti kilang haram di Segamat, Johor yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sampah e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.

Kilang kitar semula barang terpakai itu disyaki beroperasi tanpa permit atau lesen sah daripada JAS bagi menguruskan keseluruhan proses barangan e-waste.

Selain itu, temu bual Sinar Harian dengan penduduk juga mendakwa mereka berdepan dengan pencemaran bau pada waktu malam disyaki akibat proses peleburan sisa e-waste sejak setahun lalu.

Penduduk mendakwa mereka sering berdepan bau pencemaran pada waktu malam.

Sinar Harian juga melaporkan penemuan satu lokasi ladang kelapa sawit di Durian Chondong, Bukit Kepong di Johor dipercayai tempat melupus sisa e-waste.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!