Terengganu bakal miliki projek tenaga solar berskala besar

Burhanuddin Hilmi (dua dari kiri) bertukar MoU dengan Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa (dua dari kanan) selepas majlis menandatangani MoU di Wisma Darul Iman
Burhanuddin Hilmi (dua dari kiri) bertukar MoU dengan Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa (dua dari kanan) selepas majlis menandatangani MoU di Wisma Darul Iman
A
A
A

TERENGGANU terus meneroka potensi tenaga boleh diperbaharui melalui projek loji janakuasa tenaga solar berskala besar yang akan dibangunkan di negeri itu melalui hasil kerjasama dengan sebuah syarikat dari Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, usaha itu akan direalisasikan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Incorporated Sdn Bhd dengan Shizen International Inc.

Menurutnya, ia merupakan langkah awal antara kedua-dua pihak dalam melonjakkan penyertaan dalam program Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara.

"Kita harap projek ini dapat direalisasikan bagi meneroka dan mempelopori projek pemasangan solar sekaligus meningkatkan pendapatan negeri melalui ekonomi teknologi hijau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Burhanuddin, sebelum ini anak syarikat kerajaan negeri itu telah menandatangani MoU di Wisma Darul Iman pada Selasa.

Hadir sama menyaksikan majlis MoU tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal serta Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Tengku Farok Hussin (berdiri tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Terengganu Incorporated Sdn Bhd yang diwakili, Burhanuddin Hilmi (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa (dua dari kanan) di Wisma Darul Iman.
Tengku Farok Hussin (berdiri tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Terengganu Incorporated Sdn Bhd yang diwakili, Burhanuddin Hilmi (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa (dua dari kanan) di Wisma Darul Iman.

Shizen International merupakan anak syarikat Shizen Energy Inc yang terlibat aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania dan Amerika Latin.

Artikel Berkaitan:

Ia merangkumi loji jana kuasa angin dan solar dan sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, kerjasama itu selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan mempromosikan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.

"Pembangunan ini akan memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan, peluang perniagaan, serta penyediaan latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk tempatan.

"Ia juga bakal memperkukuhkan profil negeri sebagai peneraju dalam ekonomi hijau berbanding negeri-negeri lain, sekaligus menarik rakan-rakan potensi pelaburan yang lebih besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ( RE ) pada masa akan datang," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!